Anda di sini

Marseille raih kemenangan pertama mereka musim ini dalam Ligue 1

Advertisement
 Jurulatih Marseille, Andre Villas Boas meraikan gol jaringan Thauvin pada aksi Ligue 1 menentang Bordeaux di Marseille. — Gambar AFP
BANGGA: Jurulatih Marseille, Andre Villas Boas meraikan gol jaringan Thauvin pada aksi Ligue 1 menentang Bordeaux di Marseille. — Gambar AFP

PARIS: Jaringan cantik Florian Thauvin pada awal perlawanan membantu Marseille mencatatkan kemenangan pertama mereka di tempat sendiri pada musim ini apabila mereka menewaskan Bordeaux 3-1 pada Sabtu sebelum mereka kembali ke Liga Juara-Juara pada minggu ini.

Cubaan Thauvin disusuli jaringan pertama Jordan Amavi sejak Disember lalu, satu jaringan sendiri oleh Pablo dan jaringan saguhati lewat oleh Josh Maja.

Pasukan tuan rumah naik ke tempat kelima dalam carta liga sebelum mereka bertandang ke Olympiakos di Eropah pada Rabu ini, untuk penampilan pertama mereka dalam pertandingan peringkat tertinggi itu sejak 2014.

“Kami bermula dengan teruk di tempat sendiri pada musim ini dan kami perlu menang pada hari ini, dan itulah apa yang kami telah lakukan,” kata Amavi.

“Kami perlu bersiap sedia dengan baik pada minggu depan jika kami mahu mara kerana ia adalah kejohanan terbesar buat masa sekarang,” tambahnya.

Pemain tengah Michael Cuisance diberi peluang untuk membuat penampilan sulungnya oleh Andre Villas-Boas selepas dia tiba sebagai pemain pinjaman dari Bayern Munich pada hari terakhir jendela perpindahan.

Pemain tengah Hatem Ben Arfa membuat penampilan sulungnya bagi pasukan pelawat selepas dia kembali ke kelab di mana dia memenangi kejuaraan liga pada 2010.

Thauvin membuka jaringan selepas lima minit dengan satu cubaan kaki kiri yang cantik dari luar kotak penalti.

Dia diberi peluang untuk menggandakan kelebihan tujuh minit kemudian tetapi penjaga gol pasukan lawan Benoit Costil menyelamatkan tendangan penalti pemenang Piala Dunia itu selepas Amavi dikasari.

Ben Arfa menyangka dia sudah menyamakan kedudukan di stadium Velodrome yang hampir kosong tetapi penjaga garisan mengangkat bendera ofsaid sejurus selepas 15 minit.

Amavi melebarkan lelebihan sembilan minit selepas waktu rehat apabila tandukannya menewaskan Costil yang berundur.

Kemudian bekas pemain pertahanan kiri Aston Villa itu mencipta gol ketiga 25 minit sebelum tamat apabila rembatannya melepasi Costil selepas ia tertolak masuk oleh Pablo.

Maja, penyerang Nigeria, mengurangkan defisit tujuh minit sebelum tamat untuk gol keduanya pada musim ini tetapi para pemain Villas-Boas bertahan untuk naik tiga mata ke atas Paris Saint-Germain di tempat teratas liga. — AFP

Advertisement