Anda di sini

Jentera harus berusaha keras membantu calon GPS

Advertisement
 Uggah bersama Setiausaha Majlis Daerah Betong Charlie Keling meninjau tapak pasar Spaoh baharu.
TURUN PADANG: Uggah bersama Setiausaha Majlis Daerah Betong Charlie Keling meninjau tapak pasar Spaoh baharu.

DEBAK: Semua jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS) harus berusaha sekerasnya untuk memastikan semua calon GPS bukan sahaja mempertahankan kerusi mereka tetapi menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kemenangan adalah penting untuk membolehkan gabungan berkenaan membentuk semula kerajaan.

“Kita mesti mempunyai batu asas yang kukuh untuk kerajaan yang sangat kuat dan stabil,” katanya ketika merasmikan taklimat bagi ejen pengiraan, pengundian dan kempen bagi Dewan Undangan Negeri Bukit Saban di sini semalam.

Taklimat tersebut dihadiri kira-kira 135 orang yang dikendalikan Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Richard Rapu.

“Kita mesti bersedia sepenuhnya memandangkan pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

“Ahli kempen kita mesti dapat menangkis tuduhan dan penipuan yang disebarkan oleh mereka yang menentang kita,” katanya.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata semua jentera pilihan raya dari luar negeri mesti mendapatkan permit sebelum masuk ke sini.

“Mereka ke sini untuk bertugas jadi permit adalah mesti bagi mereka yang datang dari Sabah atau Semenanjung Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Uggah berkata demam pilihan raya semakin terasa di bahagian Betong dengan kibaran bendera parti-parti lain.

Justeru Uggah mengajak semua jentera GPS untuk menyaingi mereka dengan bukti pembangunan dan kemajuan yang telah dicapai.

Terdahulu Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah memeriksa beberapa projek yang sedang dilaksanakan di sini.

Antaranya Projek Tebingan Spaoh bernilai RM6.2 juta, pejabat daerah kecil baharu RM5 juta, pasar baharu RM5 juta dan tapak Jambatan Spaoh baharu merentasi Sungai Paku bernilai RM30 juta.

Advertisement