Anda di sini

Dua rumah panjang terbakar di Pasai Siong Tengah

Advertisement
Api marak memusnahkan rumah panjang berkenaan.
Api marak memusnahkan rumah panjang berkenaan.

SIBU: Dua blok rumah panjang terbakar dalam kejadian kebakaran di Rumah Jelian Nayor dan Rumah Douglas Langi, Pasai Siong Tengah, dekat sini, hari ini. 

Kebakaran itu dikatakan bermula dari Rumah Jelian yang mempunyai 28 buah pintu dan merebak ke Rumah Langi (21 pintu) yang terletak bersebelahan.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima laporan kebakaran rumah panjang lebih 40 pintu pada jam 1.54 tengah hari.

Bomba memadamkan sisa kebakaran rumah panjang, hari ini.
Bomba memadamkan sisa kebakaran rumah panjang, hari ini.

Katanya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah diketuai Suna Kaha dikerahkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran di lokasi yang terletak kira-kira 25 minit dari balai.

Pasukan itu turut dibantu anggota dari BBP Sibu yang diketuai Shahrulnizam Waillie.

"Kebakaran telah menyebabkan 48 pintu terbakar manakala sebuah lagi terselamat. Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah 80 peratus," katanya. 

Katanya, kebakaran itu turut menjejaskan 15 buah motosikal, tiga buah kereta, sebuah lori tiga tan, dan sebuah van.

"Kebakaran terkawal pada jam 3.15 petang," katanya sambil menambah, pihak bomba menjalankan kerja-kerja 'overhaul' bagi memastikan sisa kebakaran dipadamkan sepenuhnya.

Tiada kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran masih disiasat.

Difahamkan, Rumah Jelian mempunyai 260 penghuni manakala jumlah penghuni Rumah Langi belum dapat dipastikan. 

  • oleh
  • Advertisement