Anda di sini

Ardern ikrar reformasi

Advertisement
 Ardern (tengah) berbincang dengan anggota kanan parlimen sehari selepas kemenangan besar pada pilihan raya umum di Auckland, kelmarin. — Gambar AFP
CERIA: Ardern (tengah) berbincang dengan anggota kanan parlimen sehari selepas kemenangan besar pada pilihan raya umum di Auckland, kelmarin. — Gambar AFP

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern semalam berjanji untuk meneruskan usaha bagi memenuhi wawasannya ekoran kemenangan besar dalam pilihan raya umum selepas beberapa bencana menggagalkan reformasi pada penggal pertamanya.

Ardern memenangi majoriti besar yang bersejarah dalam pilihan raya kelmarin, kali pertama sejak New Zealand mengguna pakai undian seimbang pada 1996, untuk membolehkannya melaksanakan dasar tanpa sokongan daripada parti kecil.

Selepas menghadapi kritikan sejak memegang kuasa pada 2017 kerana tidak menunaikan janji penting seperti melindungi alam sekitar dan mengurangkan kemiskinan kanak-kanak, Ardern berkata beliau kini sudah mempunyai mandat untuk membuat perubahan.

Pemimpin berkarisma itu berkata, skala kemenangan itu yang terbesar bagi Parti Buruh sejak 1946, bermakna lebih ramai pengundi menyokong partinya yang berhaluan kiri tengah dan agenda reformisnya.

“Saya rasa mereka menyokong kerja yang kami telah buat dan rancangan yang kita ada untuk melangkah ke depan, dan ada beberapa usaha yang kami ingin teruskan,” kata Ardern.

Pemimpin berusia 40 tahun itu yang telah dipuji pada peringkat antarabangsa sebagai pembawa panji politik progresif, mengakui keperluan untuk mengambil hati rakan perikatan parti kecil telah memperlahankan reformasi pada penggal pertamanya.

Beliau turut menangani serangan pengganas terburuk di New Zealand, letusan gunung berapi yang berbahaya dan kemelesetan ekonomi terburuk di negara itu dalam tempoh 30 tahun.

Dalam ucapan kemenangannya lewat kelmarin, Ardern bercakap tentang penambahan perumahan kerajaan, tenaga diperbaharui yang dipertingkatkan dan pelaburan infrastruktur lain.

Beliau juga bercakap mengenai lebih banyak program latihan, peluang pekerjaan, melindungi alam sekitar dan keazaman untuk menangani isu seperti perubahan iklim, kemiskinan dan keadaan tidak sama rata.

Ketua pembangkang Judith Collins mengakui pengundi sudah memberikan kebebasan kepada Ardern untuk melaksanakan perubahan, tetapi berkata ia juga bermakna perdana menteri tidak dapat lagi mendakwa kegagalan dasar beliau adalah disebabkan oleh rakan perikatan yang enggan melaksanakan pembaharuan.

“Kerajaan sudah mendapat mandat untuk melakukan semua perkara yang mereka sudah janjikan, jadi mereka tidak dapat menyalahkan orang lain jika mereka tidak dapat menunaikannya,” kata Collins kepada pemberita.

Kempen pilihan raya berkisar sekitar kejayaan kerajaan menangani koronavirus, dan Ardern menggelaranya 'pilihan raya COVID'.

New Zealand merekodkan hanya 25 kematian koronavirus dalam populasi seramai lima juta orang, yang menurut Collins meningkatkan lagi kedudukan Ardern dalam kalangan pengundi yang bimbang mengenai pandemik. — AFP

Advertisement