Anda di sini

Warga Sandakan diminta main peranan bantu bendung penularan pandemik COVID-19

Advertisement
WONG
WONG

SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) memaklumkan kes positif COVID-19 di daerah ini telah menunjukkan peningkatan mendadak pada akhir-akhir ini.

Presidennya, Wong Foo Tin dalam satu kenyatan berkata,  laporan harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tempoh dua minggu pertama dalam bulan Oktober iaitu dari 1 Oktober hingga 15 Oktober menunjukkan Sandakan telah merekodkan lebih dari 459 kes positif setakat ini.

Katanya, dengan pertambahan 93 kes pada 16 Oktober sekaligus telah menjadikan kes positif di Sandakan sebanyak 552 kes dengan lapan kematian.

Menurut beliau, keadaan itu amat merisaukan dengan jumlah kluster juga semakin meningkat di beberapa kawasan seperti Taman Mawar, Taman Sejati, Kampung Tinusa 2, PPR Taman Harmoni, Kampung Karamunting dan Kampung Sim-Sim yang mencatatkan antara 20 hingga 35 kes positif COVID-19.

Manakala, katanya terdapat beberapa tempat lain seperti Taman Melanta, Taman Indah Jaya, Kampung Bahagia, Taman Mesra dan Taman Permata yang mencatatkan hampir 20 kes positif COVID-19.

Sehubungan itu, sebagai warga Sandakan yang bertanggungjawab, Wong memohon setiap warga agar memainkan peranan dengan memberikan kerjasama untuk terus berada di rumah dan mengelakkan hadir ke perjumpaan yang tidak perlu bagi memastikan mereka tidak terdedah kepada jangkitan COVID-19.

Manakala, katanya bagi yang terpaksa keluar bekerja, mereka perlu memastikan diri sendiri memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakkan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter serta kerap mencuci tangan dan membuat disinfeksi kuman di tempat yang kerap disentuh seperi yang disarankan oleh KKM.

Beliau juga berharap dengan maklumat dikongsi itu, warga Sandakan akan lebih berhati-hati dan peka dalam usaha menangani jangkitan COVID-19.

Jelasnya, tindakan seumpama bukan sahaja akan membantu diri sendiri, malah juga untuk keluarga dan anak-anak.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Wong turut memberitahu tempoh masa operasi beberapa sektor di daerah ini telah dilanjutkan bermula 17 Oktober.

Katanya, selaras dengan kenyataan media Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah pada 16 Oktober, tempoh masa beroperasi bagi kedai makan, restoran, farmasi, kedai serbaneka dan stesen minyak telah dilanjutkan dua jam sehingga jam 8 malam.

Bagaimanapun, jelasnya, lanjutan masa operasi itu tidak termasuk bagi pasaraya mini, kedai runcit dan pasaraya besar.

  • oleh
  • Advertisement