Anda di sini

Tiada tanda-tanda positif, operasi SAR Afizan ditamatkan hari keempat

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa hilang di laut, seorang pemuda Muhamad Afizan Abdul Muar, 20, ditamatkan pada 6 petang.

Pengumuman itu dikeluarkan Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Sabah selepas usaha SAR terbabit memasuki hari keempat pelaksanaannya.

Terdahulu, mangsa, dikhuatiri hilang akibat dipukul ombak semasa keluar mencari siput di Pulau Keramat, Kota Belud, bersama-sama tiga rakannya pada 14 Oktober lepas.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama (M) Mohd Rosli Abdullah mengesahkan perkara itu.

"Operasi SAR diaktifkan pada hari pertama laporan kehilangan mangsa dilaporkan dan sudah memasuki hari keempat dengan kawasan pencarian dipecahkan kepada tiga sektor.

"Kawasan pencarian ini melibatkan keluasan 61 batu nautika namun tidak ada tanda-tanda positif yang dilaporkan oleh aset di ketiga-tiga sektor," katanya.

Mohd Rosli berkata, pemantauan berterusan akan dilaksanakan menerusi rutin operasi harian dan mengucapkan terima kasih dengan agensi-agensi yang terlibat dalam SAR.

Antaranya, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang kampung.

"Kita mengingatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri apabila melakukan aktiviti di laut seperti memakai jaket keselamatan," katanya.

Pada masa sama, orang ramai turut diingatkan supaya snetiasa peka dengan keadaan cuaca semasa dan menyediakan kelengkapan keselamatan semasa berada di laut.

Menurutnya, peralatan keselamatan yang lengkap amat penting termasuklah untuk membolehkan usaha mengesah kedudukan mangsa apabila berlaku kecemasan.

"Kita harap komuniti maritim segera melaporkan kecemasan yang berlaku menerusi talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774 atau MERS999," katanya.

  • oleh
  • Advertisement