Anda di sini

Santos terpaksa berpisah dengan Robinho yang dibelenggu isu kes rogol

Advertisement
ROBINHO
ROBINHO

SAO PAULO: Santos dan penyerang antarabangsa veteran Robinho pada Jumaat berkata mereka sudah bersetuju untuk berpisah di tengah-tengah tekanan yang dialami pasukan bola sepak Brazil ekoran pensabitannya di Itali atas kesalahan merogol seorang wanita muda pada 2013 ketika dia bermain untuk Milan.

Dahulu bintang yang sedang meningkat naik dalam sukan bola sepak, Robson de Souza, dengan dikenali sebagai Robinho, hanya beberapa hari lepas menandatangani kontrak selama 36 bulan bersama Santos, kelab yang disertainya sebelum dia menandatangani kontrak bersama Real Madrid, Manchester dan Milan.

“Kelab Bola Sepak Santos dan pemain Robinho mengumumkan bahawa dengan persetujuan bersama, mereka telah memutuskan untuk menggantung kontraknya yang ditandatangani pada 10 Oktober lepas supaya pemain itu dapat memberi tumpuan eksklusif kepada usaha membela kesnya yang berlaku di Itali,” kelab itu menyebut dalam satu kenyataan yang dipaparkan dalam Twitter.

“Dengan rasa yang sangat sedih di dalam hati saya, saya ingin memberitahu anda bahawa saya telah mengambil keputusan bersama presiden (kelab bola sepak itu) untuk menggantung kontrak saya pada waktu yang bergolak dalam hidup saya ini,” kata Robinho, 36, dalam sebuah video. “Matlamat saya selama ini adalah untuk membantu kelab bola sepak Santos.”

“Jika kehadiran saya adalah satu gangguan, ia adalah lebih baik untuk meninggalkan kelab dan mengurus hal ehwal peribadi saya,” katanya.

Sejak berita dilaporkan tentang kontraknya bersama Santos, kelab itu telah menerima tekanan yang semakin meningkat daripada penyokong, media dan kumpulan wanita untuk menamatkan hubungan selepas hukuman penjara selama sembilan bulan telah dijatuhkan oleh sebuah mahkamah di Itali pada 2017 dalam kes rogol beramai-ramai di mana Robinho didapati bersalah kerana turut mengambil bahagian empat tahun sebelum itu.

Robinho, yang pernah disebut-sebut sebagai pengganti kepada pemain paling terkenal Santos, Pele, mengemukakan rayuan terhadap pensabitan itu, dengan mendakwa dia tidak bersalah.

Tetapi penaja kelab mengugut untuk menarik diri jika dia kekal di Santos. Dan saluran televisyen Globo Sports mengeluarkan petikan rakaman yang digunakan oleh pendakwa raya Itali untuk mendapatkan pensabitan mereka, di mana pemain itu dikatakan menyebut, “Saya ketawa kerana saya tidak peduli. Wanita itu mabuk sama sekali. Dia malah tidak tahu apa yang telah berlaku.”

Robinho didapati bersalah merogol seorang wanita dalam lingkungan usia 20an bersama sekumpulan teman di sebuah kelab malam di Milan.

Santos, yang turut melahirkan bintang kontemporari Neymar, sehingga sekarang melawan tekanan untuk berpisah dengan Robinho, dengan alasan bahawa kes mahkamah masih belum selesai. — AFP

Advertisement