Anda di sini

Ronaldo dan Pattinson antara selebriti yang dijangkiti COVID-19

Advertisement
CRISTIANO RONALDO
CRISTIANO RONALDO

DARIPADA pemimpin dunia seperti Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hingga kepada bintang Hollywood dan sekarang pemain bola sepak sensasi dari Portugal Cristiano Ronaldo … koronavirus telah menjangkiti jutaan manusia di seluruh dunia, termasuk golongan mewah dan terkenal.

Di bawah adalah rangkuman figura berprofil tinggi yang dijangkiti koronavirus.

- DIJANGKITI -

Cristiano Ronaldo, penyerang Juventus berusia 35 tahun - yang telah dipilih sebagai pemain terbaik dunia sebanyak lima kali - didapati positif pada Selasa lepas, dan tidak bermain dalam perlawanan Portugal menentang Sweden dalam Liga Negara-Negara pada Rabu.  

Trump, Presiden AS, didapati positif bagi COVID-19 pada 2 Oktober lepas, seterusnya menterbalikkan pilihan raya yang sudah pun tegang di AS, tetapi kembali berkempen di Florida pada Isnin lepas dengan menyatakan, “Saya rasa begitu bertenaga.”

Penggambaran di Britain untuk filem Batman yang terbaharu dihentikan pada September lalu selepas bintangnya Robert Pattinson dilaporkan positif bagi koronavirus, hanya beberapa hari sahaja selepas penggambaran disambung semula.

Dwayne ‘The Rock’ Johnson memberitahu seluruh keluarganya telah didapati positif bagi koronavirus tetapi semua mereka sudah pulih sepenuhnya.

Bekas perdana menteri Itali Silvio Berlusconi dimasukkan ke hospital selama 11 hari pada September lalu selepas dijangkiti koronavirus, dan menyifatkannya sebagai “mungkin pengalaman paling sukar dalam hidup saya”.

Taikun media berusia 83 tahun itu didapati positif selepas dia kembali dari percutian di villa mewahnya di Sardinia.

Bintang Bollywood Amitabh Bachchan dimasukkan ke hospital selama tiga minggu pada Julai dan Ogos lalu setelah mengalami gejala koronavirus “ringan” selepas didapati positif bagi penyakit tersebut.

Anak Bachchan yang juga pelakon Abhishek dan menantunya, aktres dan bekas Miss World Aishwarya Rai turut dimasukkan ke hospital.

Pada Jun lalu, pemain tenis nombor satu dunia Novak Djokovic didapati positif selepas satu pameran Adria Tour yang malang, di mana penjarakan sosial tidak diamalkan dan para pemain telah berkunjung ke kelab malam.

Marianne Faithfull, 73, seorang ikon tahun 1960-an serta penyanyi dan penulis lagu terkenal, dibenarkan pulang dari hospital pada 22 April lalu, 22 hari selepas dia dimasukkan dengan gejala koronavirus.

Perdana Menteri Britain Boris Johnson, 55, dibenarkan pulang dari hospital pada 12 April lalu, selepas seminggu dimasukkan, termasuk tiga hari dalam unit rawatan rapi. Selepas pemulihan selama dua minggu, beliau kini sudah kembali bekerja.

Di Rusia, jurucakap Presiden Vladimir Putin, Dmitry Peskov, dan Perdana Menteri Mikhail Mishustin turut didapati positif.

Superstar Madonna berkata pada 7 Mei lalu, dia didapati positif selepas dia jatuh sakit sewaktu mengadakan jelajah di Perancis.

Michel Barnier, yang mengetuai rundingan Kesatuan Eropah dengan Britain mengenai Brexit, mengumumkan pada 19 Mac lalu bahawa dia telah dijangkiti virus itu tetapi kembali bekerja di Brussels pada 14 April lalu. Rakan senegara dari Britain, David Frost turut dijangkiti.

Putera Charles di Britain dan Putera Albert II di Monaco kini sudah keluar dari kuarantin selepas kedua-dua mereka didapati positid dan menunjukkan gejala ringan.

Pelakon yang pernah memenangi anugerah Oscar, Tom Hanks, serta isterinya, aktres dan penyanyi, Rita Wilson, sudah pulih dan pulang ke Los Angeles setelah dikuarantin selama dua minggu di Australia.

Pelakon British, Idris Elba, yang didapati positif tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala, mengumumkan dia sudah menamatkan pengasingan pada 31 Mac lalu.

Bintang opera Sepanyol, Placido Domingo, 79, dibenarkan pulang dari hospital pada 30 Mac lalu.

Di Itali, Juventus mengumumkan pemenang Piala 2018 bersama pasukan Perancis, Blaise Matuidi, pemain pertahanan Itali Daniele Rugani dan penyerang Argentina Paulo Dybala, turut dijangkiti virus itu.

Pada 7 Julai lalu, Presiden Brazil Jair Bolsonaro berkata beliau telah didapati positif bagi virus tersebut, selepas beliau sering memperkecilkannya.

- MENINGGAL DUNIA -

Pemain saksofon jazz Amerika Lee Konitz meninggal dunia pada 17 April lalu di usia 92 tahun.

Penulis paling laris dari Chile yang hidup dalam buangan, Luis Sepulveda, 70, meninggal dunia pada 16 April lalu di sebuah hospital di Sepanyol kira-kira enam minggu selepas didapati positif.

Legenda jazz Ellis Marsalis meninggal dunia pada 1 April lalu di usia 85 tahun selepas dia dijangkiti virus itu.

Pape Diouf, 68, dari Senegal dan bekas presiden kelab bola sepak Perancis, Olympique de Marseille, meninggal dunia pada 31 Mac lalu di Dakar.

Mantan presiden Republik Congo,Jacques Joaquim Yhombi Opango, meninggal dunia pada 30 Mac lalu di usia 81 tahun.

Bintang veteran Afro-jazz berusia 86 tahun, Manu Dibango, 86, dan penulis pementasan Amerika yang disanjungi ramai, Terrence McNally, 81, meninggal dunia pada 2 Mac lalu.

Penyanyi rap British, Ty, yang dicalonkan untuk hadiah muzik Mercury yang berprestij, meninggal dunia di usia 47 tahun pada 7 Mei lalu.

Pemimpin peribumi Paulinho Paiakan, salah seorang pembela terbesar hutan hujan Amazon, meninggal dunia pada usia 65 tahun, kata pengumuman pada 17 Jun lalu.

Pereka fesyen Jepun, Kenzo Takada, 81, pencipta pertama dari Asia yang menembusi dunia fesyen di Paris, meninggal dunia di ibu negara Perancis itu pada 4 Oktober lepas. — AFP

Advertisement