Anda di sini

Rh Das Nyanggau dapat pinjaman RM750,000 bina rumah panjang baharu daripada HDC

Advertisement
 John Sikie (tengah) memotong reben simbolik perasmian Majlis Ngentak Rumah Panjang Baharu untuk Rumah Das Nyanggau sambil disaksikan Tuai Rumah Das (kiri).
RASMI: John Sikie (tengah) memotong reben simbolik perasmian Majlis Ngentak Rumah Panjang Baharu untuk Rumah Das Nyanggau sambil disaksikan Tuai Rumah Das (kiri).

TATAU: Rumah Das Nyanggau berjaya mendapat pinjaman untuk membina rumah panjang baharu daripada Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak dengan jumlah keseluruhan RM750,000 untuk 25 pintu merangkumi RM30,000 bagi setiap pintu.

Justeru, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus Datuk John Sikie Tayai mengucapkan tahniah kepada penduduk rumah panjang tersebut sambil berharap kerajaan akan menambah peruntukan untuk pinjaman perumahan sedemikian pada masa hadapan.

Katanya, banyak permohonan pinjaman yang sama diterima dari Kakus, namun setakat ini hanya tujuh rumah panjang di kawasan itu telah diluluskan untuk mendapat bantuan pinjaman sama.

“Ini (bantuan pinjaman) antara cara kerajaan Gabu-ngan Parti Sarawak (GPS) membantu rakyat negeri ini dengan menyedia peruntukan kemudahan pinjaman pembinaan rumah panjang baharu tanpa faedah dengan kadar bayaran RM100 sebulan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ngentak Rumah Panjang Baharu untuk Rumah Das Nyanggau di Sungai Kelawit, Tatau pagi kelmarin.

Sikie berkata, nilai pinjaman tersebut adalah dalam bentuk bahan binaan, maka Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang harus memeriksa bahan binaan yang dipesan dengan memastikannya mengikut spesifikasi dan kualiti yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Apabila bahan binaan ini sampai ke tempat pembinaan rumah, segeralah membina atau membaik pulih rumah, jangan biarkan bahan binaan tersebut terbiar begitu sahaja,” katanya.

Beliau berharap setiap rumah panjang yang baharu dapat dibina dengan seragam khususnya dari hadapan rumah sehingga ke bahagian ruai supaya lebih cantik dan menarik sekali gus perlu mengutamakan ciri-ciri ke-selamatannya.

Justeru katanya, setiap penduduk rumah panjang perlu bekerjasama supaya pembinaan secara seragam dapat direalisasikan sebagai lambang keutuhan kesepakatan mereka.

Selain pinjaman perumahan katanya, kerajaan GPS juga memberikan peruntukan RM1 juta setahun untuk setiap kawasan DUN di bawah Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).

Pada majlis itu beliau turut mengumumkan geran projek luar bandar (MRP) sebanyak RM25,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Das dan RM5,000 kepada Biro Wanitanya.

Hadir sama isterinya Datin Melia Gelen, Bakat Edward Enggu mewakili pegawai daerah Tatau dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau PBT Jankey Jikat.

Advertisement