Anda di sini

Pusat Khidmat Rakyat P186 Sandakan mulakan program pengumpulan dana

Advertisement
VIVIAN
VIVIAN

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee mengumumkan Pusat Khidmat Rakyat P186 Sandakan akan memulakan program pengumpulan dana bagi membeli bakul makanan untuk diberikan kepada keluarga yang terjejas teruk berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Dikenali sebagai program 'Bakul Kasih', inisiatif itu merupakan kerjasama antara Pusat Khidmat Rakyat P186 Sandakan bersama Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sandakan, yang antara lain juga satu usaha dalam mendapatkan lebih ramai belia untuk terlibat dalam kerja-kerja kemasyarakatan.

"Pandemik semasa memang telah banyak mengubah kehidupan kita. Ramai diantara kita di Sandakan masih dalam proses untuk pulih dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama pada bulan Mac hingga Jun awal tahun ini. Dan sekarang, kita dilanda pusingan kedua PKPB. Berdasarkan pelbagai panggilan dan mesej untuk mendapatkan bantuan yang kita terima setiap hari, masih ramai yang berjuang untuk berhadapan ataupun menangani keadaan semasa.

"Kita berharap dengan kemurahan hati dan kebaikan orang Sandakan dari dekat dan jauh, kita akan dapat mengumpulkan dana yang cukup untuk membeli 500 bakul makanan untuk keluarga yang terjejas teruk oleh wabak sekarang ini, terutamanya golongan warga emas yang tinggal sendirian, ibu tunggal dan kumpulan B40," katanya.

Di bawah program itu, dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk membeli dua jenis bakul makanan.

Bagi bakul makanan jenis A yang berharga kira-kira RM60, ia akan meliputi makanan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, garam, tepung, biskut, mi dan telur.

Sementara bakul makanan jenis B terdiri daripada barangan harian yang sama tetapi akan ditambah dengan susu formula bayi yang dianggarkan keseluruhan bernilai kira-kira RM75.

Program itu akan berlangsung sehingga akhir tempoh PKPB dan orang ramai yang ingin menyumbang boleh terus memasukkan sumbangan mereka ke akaun bank Pusat Khidmat Rakyat P186 Sandakan iaitu Bank Islam Malaysia (Nombor Akaun: 1004 3010 0247 81).

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Rakyat P186 Sandakan di talian 013-6518823 untuk panggilan telefon atau pesanan WhatsApp, atau boleh membuat pertanyaan mereka melalui Facebook rasmi pusat ini.


 

  • oleh
  • Advertisement