Anda di sini

Polis Bau tidak leka, giat jalankan operasi pematuhan SOP sepanjang PKPP - Poge

Advertisement
Polis Bau bersama penguatkuasa lain menjalankan operasi pematuhan SOP di premis makanan.
Polis Bau bersama penguatkuasa lain menjalankan operasi pematuhan SOP di premis makanan.

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dibantu penguatkuasa lain tidak pernah menghentikan operasi penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

Perkara itu ditegaskan Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon yang berkata, operasi penguatkuasaan SOP ke atas orang ramai dalam usaha memutuskan rantaian pendemik itu sentiasa dijalankan. 

Jelasnya, pihaknya akan terus giat menjalankan penguatkuasaan pematuhan SOP PKPP ini sekali gus telah menubuh Pasukan Petugas Penguatkuasaan Pematuhan SOP untuk tujuan tersebut. 

"Kita dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Majlis Daerah Bau (MDB)," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau memberitahu, di samping itu operasi di bawah pasukan yang dibentuk di daerah Bau tersebut juga untuk penugasan pematuhan SOP ke atas premis perniagaan dan makanan, pusat rekreasi, pusat ibadat dan lain-lain tempat yang hanya dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKPP.

"Selain itu, pasukan ini dibentuk bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan semasa iaitu mereka diwajibkan memakai pelitup muka dan juga mengamalkan jarak fizikal antara satu sama lain di tempat awam yang sesak. 

"Kita sama-sama untuk membendung COVID-19 ini bukannya atas tanggungjawab pihak berkuasa sahaja bahkan orang ramai perlu sedar betapa seriusnya wabak ini dan mematuhi SOP yang telah dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan Malaysia," ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement