Anda di sini

Peserta 'Unity Run' diminta tuntut pingat, sijil dan baju-T pada 21 Okt

Advertisement
 (Dari tiga kiri) Ling, Ting, Herman serta yang lain menunjukkan barang-barang boleh dituntut oleh peserta 'Unity Run' di Sibu bermula 21 Oktober ini.
SILA TUNTUT: (Dari tiga kiri) Ling, Ting, Herman serta yang lain menunjukkan barang-barang boleh dituntut oleh peserta 'Unity Run' di Sibu bermula 21 Oktober ini.

SIBU: Semua peserta 'Unity Run' anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Methodist sudah berdaftar diminta mengambil pingat, sijil dan baju-T penyertaan pada 21 Oktober ini di sekolah tersebut.

Pengerusinya, Ting Wei Ping berkata peserta berkumpul di Peace Room di Blok A, bangunan sekolah dari jam 7 pagi hingga waktu tengah hari.

Ting mengatakan acara larian tersebut sepatutnya dilangsungkan pada 18 April lalu.

"Bagaimanapun, ia dibatalkan kerana pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita amat sedih terpaksa membatalkannya. Ini adalah larian pertama dianjurkan PIBG SMK Methodist. Kami mengadakan penjualan makanan setiap tahun mengumpul dana untuk sekolah.

 "Tahun ini, kita juga mengadakan acara lain dijalankan tetapi malangnya kita harus membatalkannya," kata beliau pada sidang media di sini kelmarin.

Menurutnya, larian itu berjaya menarik seramai 676 peserta dan mengumpul dana sejumlah RM33,800 untuk sekolah.

"Dengan acara dibatalkan, setiap peserta mendapat pingat, sijil dan baju-T," jelasnya.

Selain itu, 40 peserta bertuah dipilih memenangi hadiah mainan patung edisi terhad Orang Utan.

"Kami mempunyai dua kategori larian ini iaitu kategori A (3km) dan kategori B (5km). Kami memiliki secara rawak 20 nama dari setiap kategori dipilih memenangi hadiah," katanya.

Beliau mengatakan PIBG berusaha menganjurkan acara serupa tahun depan sekiranya keadaan mengizinkan.

"Mudah-mudahan tahun depan, wabak ini berakhir dan kita akan berusaha menganjurkan acara tersebut," katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu Pengetua SMK Methodist, Phillip Ling dan Ketua Balai Polis Sentral Sibu, ASP Herman Rakey.

Advertisement