Anda di sini

Penunjuk perasaan seru penyokong kembali berkumpul di jalan raya

Advertisement
 Barisan polis antirusuhan tiba di jalan raya utama bagi mengelakkan berlakunya perhimpunan beramai-ramai dari penunjuk perasaan prodemokrasi di Bangkok, Thailand.  — Gambar AFP
AMARAN: Barisan polis antirusuhan tiba di jalan raya utama bagi mengelakkan berlakunya perhimpunan beramai-ramai dari penunjuk perasaan prodemokrasi di Bangkok, Thailand. — Gambar AFP

BANGKOK: Penunjuk perasaan prodemokrasi Thai menyatakan semalam mereka akan menentang satu dikri darurat mengharamkan perhimpunan untuk hari ketiga berturut-turut selepas konfrontasi pada malam sebelumnya yang melihat pihak polis pencegah rusuhan menggunakan meriam air terhadap aktivis yang kebanyakan golongan muda.

Kira-kira 3,000 penunjuk perasaan di daerah pusat beli-belah utama di bandar ini menuntut pembebasan penunjuk perasaan yang ditangkap, dan segelintir yang melaungkan kata-kata lucah terhadap Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha sebelum mereka dileraikan oleh polis.

Free Youth, salah satu dari kumpulan bantahan utama, pada  pagi semalam menyeru kepada para penyokongnya agar kembali berkumpul di jalan raya pada lewat semalam.

“Bersedia dari segi fizikal dan mental bagi tunjuk perasaan dan berdepan dengan satu tindakan sekiranya ia berlaku," menurut kenyataan atas talian kumpulan tersebut.

Seramai beratus-ratus polis pencegah rusuhan telah meleraikan penunjuk perasaan kelmarin dengan melepaskan tembakan air berwarna biru yang dicampurkan dengan sejenis agen kimia dengan meriam.

Pihak polis kemudian menyatakan pewarna itu akan menandakan penunjuk perasaan bagi tindakan perundangan anak datang.

Pergerakan diketuai oleh belia telah mengejutkan golongan elit politik di kerajaan ini dengan tuntutannya agar kerajaan meletakkan jawatan dan perubahan bagi kerajaan yang tidak dapat disangkal sebelum ini.

Raja Maha Vajiralongkorn yang sangat kaya dan berkuasa tidak bersuara mengenai ketegangan umum secara langsung namun semasa satu upacara disiarkan kelmarin memperingati rakyat bahawa Thailand "memerlukan rakyat yang menyayangi negara, rakyat yang menyayangi institusi monarki.”

Thai Lawyers for Human Rights memberitahu AFP bahawa 65 aktivis telah ditangkap sejak Selasa, termasuk sembilan pegawai paling dihormati dalam pergerakan prodemokrasi.

Pada awal kelmarin, dua aktivis telah ditangkap di bawah satu undang-undang yang jarang digunakan mengharamkan keganasan terhadap ratu kerana mereka adalah di antara sebuah kumpulan yang mengepung satu perarakan diraja pada Rabu lepas semasa satu tunjuk perasaan besar-besaran.

Kedua-dua lelaki itu mungkin berdepan hukuman penjara seumur hidup jika disabitkan.

Seorang wartawan Thai telah turut ditahan ketika bantahan kelmarin, menurut syarikat berita dalam taliannya, Prachathai.

Perdana Menteri Prayut telah melanjutkan dikri darurat mengharamkan perhimpunan untuk lebih dari empat orang sehingga pertengahan November, mengabaikan permintaan aktivis untuk meletakkan jawatan.

Bekas ketua tentera itu adalah dalang utama di sebalik satu rampasan kuasa pada 2014 sebelum diundi memegang kuasa pada pilihan raya tahun lepas yang menurut penunjuk perasaan sebagai dipalsukan untuk memihak kepadanya.

Parti pembangkang Pheu Thai telah menyeru kepada kerajaan agar menarik balik langkah-langkah kecemasan dan membebaskan mereka yang ditahan. — AFP

Advertisement