Anda di sini

Mesej tular, dikompaun akibat naik kereta lebih had SOP PKPB

Advertisement
 Hanya pemandu dan seorang penumpang dibenarkan menaiki kenderaan persendirian atau kereta dinaiki dari isi rumah yang sama.
LEBIH HAD: Hanya pemandu dan seorang penumpang dibenarkan menaiki kenderaan persendirian atau kereta dinaiki dari isi rumah yang sama.

PENAMPANG: Tiga individu dikenakan kompaun pada 16 Oktober lepas di Sekatan Jalan Raya (SJR) Jalan Penampang-Papar kerana menaiki kereta melebihi had ditetapkan.

Kenyataan media IPD Penampang di sini, menyebut bahawa tindakan itu selaras Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Berikutan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak terkeliru dengan mesej tular berkaitan kompaun terbabit yang disebarkan menerusi aplikasi media sosial termasuk WhatsApp.

Peringatan berkenaan dikeluarkan susulan tularnya mesej berhubung kes dua penumpang yang dikenakan tindakan saman kononnya akibat tidak menjaga jarak dalam kereta.

Berdasarkan kenyataan media terbabit juga, polis menahan kenderaan itu di SJR untuk pemeriksaan rutin sebelum dikesan membawa lebih daripada seorang penumpang.

Bilangan mereka didapati bertentangan dengan kebenaran penguatkuasaan pergerakan dalam kawasan PKPB iaitu cuma dua orang dibolehkan menaiki satu kereta persendirian.

Kompaun dikeluarkan selaras penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 yang serentak dengan pelaksanaan SOP PKPB.

Orang ramai turut diingatkan supaya berhati-hati jika menerima mesej tular dan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat.

Pada masa sama, peringatan terbabit juga menyebut bahawa kebenaran dua orang satu kereta sahaja membawa maksud jika melibatkan isi rumah yang sama termasuk pemandu.

Manakala, had kapasiti untuk perkhidmatan e-hailing menaiki kenderaan yang dibenarkan pula adalah seramai tiga orang iaitu, seorang pemandu dan dua penumpang sahaja.

Bagaimanapun tidak ada kedudukan spesifik tempat duduk ditetapkan dan orang ramai diingatkan supaya mematuhi SOP PKPB berkaitan kewajipan memakai alat pelitup muka.


 

  • oleh
  • Advertisement