Anda di sini

Mayat tukang sapu dipercayai lemas ditemukan terapung

Advertisement
MOHD AZHAR
MOHD AZHAR

SANDAKAN: Mayat seorang lelaki tempatan yang dipercayai lemas telah ditemukan terapung di kawasan sungai Batu 3 di sini tengah hari kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Irwan Nasri, 42, dengan alamat terakhir di setinggan Batu 3 di sini merupakan seorang tukang sapu di Pasar Muhibbah di Batu 2 1/2.

Berdasarkan maklumat siasatan awal, mangsa dipercayai keluar dari Pasar Muhibbah setelah selesai bekerja lebih kurang jam 12.30 tengah hari dan menuju ke sungai Batu 3 untuk mencari ikan dan ketam berikutan keadaan air sungai pasang.

Maklumat awal juga mendapati orang awam telah ternampak mayat mangsa terapung di sungai tersebut kira-kira jam 1 petang.

Berikutan itu, pihak polis yang menerima maklumat telah pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur khianat dan kecederaan pada tubuh mangsa. 

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Forensik Hospital Duchess Of Kent (HDOK) Sandakan untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat mangsa diserahkan kepada waris selepas bedah siasat selesai dijalankan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin ketika dihubungi, telah mengesahkan kejadian tersebut.

  • oleh
  • Advertisement