Anda di sini

Ling: Tumpu usaha pulihkan ekonomi, bukan rebut kuasa

Advertisement
LING
LING

MIRI: Sekarang bukan masa untuk ahli politik berebut kuasa dan jawatan kerana tindakan itu bertentangan dengan apa yang dikehendaki majoriti rakyat.

Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Pakatan Harapan (PH) Sarawak Senator Alan Ling berkata, ketika ini semua wakil rakyat perlu memberi perhatian kepada dua perkara utama iaitu kesihatan dan pemulihan ekonomi.

“Sepatutnya kita memerangi COVID-19 dengan mewujudkan kesatuan politik rentas parti, bukan mencipta perpecahan untuk faedah peribadi,” jelasnya kepada pemberita semalam. Ahli Dewan Negara itu memberitahu, di bawah sistem Westminster, kabinet menggalas tanggungjawab secara kolektif yang hanya akan berkesan jika setiap parti diwakili dengan jumlah sepatutnya mengikut bilangan Ahli Parlimen.

Perkara tersebut sangat penting untuk rakyat kerana dengan mempunyai kabinet yang bersatu hati, kerajaan akan boleh bergerak secara bersama, katanya.

Ia sekaligus membolehkan kerajaan memfokuskan hal-hal tadbir urus, pemerintahan serta usaha pencegahan pandemik COVID-19 yang memberi banyak kesan terhadap rakyat dan ekonomi negara, tambahnya.

“Kita memerlukan sebuah kerajaan yang kuat, proven (terbukti) serta inklusif, ini penting bagi memacu kejayaan demi rakyat,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, setiap ahli politik harus memberi perhatian kepada kebajikan rakyat, bukan perebutan jawatan yang mencetuskan ketidakstabilan politik dan suasana huru-hara.

Ling berkata, rakyat sudah jemu dengan pertelingkahan politik berpanjangan yang dimainkan pelbagai pihak tanpa memikirkan kesengsaraan rakyat berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Ahli-ahli politik seharusmya menumpukan sepenuh perhatian ke arah menyelesaikan masalah ekonomi rakyat dan usaha bersama melawan COVID-19,” katanya.

Selain itu, usaha mengekang penularan wabak maut itu harus diperluaskan dari menjadi semakin serius di samping memastikan sektor ekonomi dapat dibangunkan semula demi kesejahteraan rakyat.

Advertisement