Anda di sini

KKM tingkatkan kapasiti aset di Sabah

Advertisement
 Empat pegawai dari Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur yang dimobilisasi ke Hospital Tawau.
MOBILISASI: Empat pegawai dari Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur yang dimobilisasi ke Hospital Tawau.

KOTA KINABALU: Sejak peningkatan bilangan kes COVID-19 di Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggiatkan pelbagai usaha termasuk meningkatkan kapasiti dan mobilisasi aset serta sumber manusia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, usaha-usaha yang dilakukan itu bagi memastikan sistem kesihatan awam dan perubatan di negeri Sabah terus mampan dalam membendung situasi penularan COVID-19.

Menurutnya, antara usaha yang dijalankan termasuklah meningkatkan sebanyak dua kali ganda kapasiti ujian makmal RT-PCR dan RTK antigen.

"Pada Julai lepas, kapasiti ujian RT-PCR di Sabah adalah sebanyak 1,350 ujian dan kini, ia dipertingkatkan kepada 2,600 ujian RT-PCR sehari.

"Penghantaran sampel RT-PCR setiap hari dilakukan ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dengan menggunakan perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pos Laju.

"Perkhidmatan penyumberluaran (outsourcing) kepada makmal swasta juga dilakukan. Contohnya, pada 16 Oktober 2020, sebanyak 4,327 ujian disumberluarkan kepada makmal swasta agar lebih banyak saringan dapat terus dijalankan di lapangan," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, mulai Oktober lebih banyak kit ujian RTK Antigen dihantar membabitkan sebanyak 100,000 kit ujian untuk membantu saringan COVID-19 di lapangan.

Selain itu jelasnya, kapasiti katil di hospital COVID-19 serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) turut ditambah lebih dua kali ganda dan kini Sabah mempunyai sembilan Hospital COVID-19 dan 21 PKRC.

Menurutnya, jumlah terkini katil di semua hospital dan pusat berkenaan adalah sebanyak 5,414 katil dengan kadar penggunaan katil (BOR) sebanyak 35 peratus.

Dalam pada itu katanya, penyediaan hospital medan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau akan menempatkan 100 katil bagi kegunaan pesakit bukan COVID-19 agar lebih banyak katil di Hospital Tawau boleh digunakan untuk pesakit COVID-19.

"Kapasiti katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat mesin bantuan pernafasan (ventilator) turut ditingkatkan menggunakan peruntukan khas kerajaan serta melalui sumbangan daripada pelbagai pihak.

"Khususnya untuk Sabah, terdapat sejumlah 180 ventilator yang disediakan dengan kadar penggunaan sebanyak 32 peratus termasuk penggunaan kes-kes bukan COVID-19.

"Jumlah katil ICU di negeri Sabah kini adalah sebanyak 122 katil dengan kadar penggunaan sebanyak 72 peratus termasuk juga penggunaan kes-kes bukan COVID-19," jelasnya.

Noor Hisham berkata, kapasiti dan mobilisasi tenaga sumber manusia perubatan dan kesihatan awam turut ditingkatkan melibatkan seramai 767 orang anggota perubatan dan kesihatan awam KKM dari pelbagai kategori dan skim perkhidmatan yang digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan, dan Kota Kinabalu.

Pihaknya juga akan menghantar lebih ramai anggota kelak iaitu sebanyak 99 petugas akan bertolak ke Sabah dalam minggu ini dan minggu hadapan termasuk 36 petugas kesihatan awam dan 63 petugas perubatan.

Katanya, KKM juga mempergiatkan penglibatan lebih banyak anggota sukarelawan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan individu dalam menangani krisis COVID-19.

Setakat ini katanya, sebanyak 4,794 pendaftaran diterima dan masih dalam proses saringan. Justeru, lebih ramai sukarelawan diseru untuk bersama-sama membantu KKM dalam usaha sama ini.

"Bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan dan rawatan kepada kes-kes bukan COVID-19 tidak terjejas, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) berbincang dan menandatangani beberapa perjanjian dengan hospital swasta.

"Antara senarai hospital swasta yang terlibat dalam kerjasama ini termasuklah Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Gleneagles Kota Kinabalu, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Hospital Pakar KPJ Sabah, Tawau Specialist Medical Centre, dan Jesselton Medical Centre (JMC)," jelasnya.



 

Advertisement