Anda di sini

Kerajaan peruntuk RM81.9 juta sedia bekalan elektrik luar bandar

Advertisement
 Rolland menyempurnakan majlis perasmian Bengkel Komuniti Kepolisan di Rumah Ama, Nanga Keluton, Entabai, Julau semalam.
PERKASA KOMUNITI: Rolland menyempurnakan majlis perasmian Bengkel Komuniti Kepolisan di Rumah Ama, Nanga Keluton, Entabai, Julau semalam.

SARIKEI: Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM81.9 juta untuk melaksanakan penyediaan kemudahan bekalan elektrik luar bandar, termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Rolland Duat Jubin berkata,  peruntukan tersebut diagihkan melalui dua kaedah pelaksanaan iaitu menggunakan sistem grid dan Skim Elektrik Luar Bandar Sarawak (SARES).

“Hingga kini kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM72.8 juta untuk penyediaan bekalan elektrik menggunakan kaedah sistem grid dan RM9.1 juta untuk SARES, termasuk di DUN Meluan.

“Berdasarkan rekod, di DUN Meluan hampir kesemua rumah panjang telah dilengkapi dengan kemudahan bekalan elektrik dengan menggunakan dua kaedah tersebut.

“Sekiranya terdapat keciciran, kita memohon kerjasama penduduk untuk memaklumkannya terus kepada kita agar penyelesaian dapat diambil dengan segera,” kata Rolland.

Beliau berkata demikan ketika ditemui media sejurus selesai menyempurnakan majlis perasmian Bengkel Komuniti Kepolisan di Rumah Ama, Nanga Keluton, Entabai, Julau semalam.

Sekitar 150 penduduk setempat menghadiri program tersebut yang melibatkan penyertaan sembilan agensi kerajaan.

Rolland menjelaskan sistem grid dan SARES merupakan inisiatif di bawah pelan induk kerajaan negeri melalui Kementerian Utiliti dengan kerjasama Sarawak Energy yang melaksanakan penyaluran bekalan elektrik bagi kawasan luar bandar.

“Dengan kesempatan ini, kita selaku wakil masyarakat DUN Meluan ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak dan pihak kementerian yang bertangggungjawab iaitu Kementerian Utiliti atas komitmen dan kesungguhan dalam memenuhi keperluan dan permintaan rakyat di kawasan luar bandar untuk menikmati kemudahan elektrik.

“Melalui komitmen seumpama ini juga, ia secara tidak langsung akan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dan bandar,” ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapannya Rolland menyeru ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar memainkan peranan mereka sebaik mungkin terutama dalam memastikan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan komuniti.

“Ini amat penting bagi memastikan ketua masyarakat dan ketua kaum dapat menjalankan tugas mereka dengan baik dan lancar melalui sokongan padu daripada pihak JKKK.

“Ahli-ahli JKKK perlu menjalankan tugas mereka dengan penuh amanah dan peka dengan masyarakat di sekitar mereka agar komuniti yang sihat dan aktif dapat diwujudkan pada tahap maksimum,” tegasnya.

Turut hadir wakil Pegawai Daerah Pakan Yalin Hasan,  Penasihat Biro Wanita N.48 Meluan Sila Ulat Pengarah serta ketua-ketua masyarakat setempat.

Advertisement