Anda di sini

HDOK Sandakan buka satu lagi Pusat Rawatan Covid Berisiko Rendah

Advertisement
 Dr. Francis (dua, kiri) menerima kunci Asrama Kompleks Sukan Sandakan daripada Dr. K. H. Tan.
TERIMA: Dr. Francis (dua, kiri) menerima kunci Asrama Kompleks Sukan Sandakan daripada Dr. K. H. Tan.

SANDAKAN: Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan telah membuka satu lagi Pusat Rawatan Covid Berisiko Rendah (PKRC) di Asrama Kompleks Sukan Sandakan ekoran peningkatan secara mendadak kes jangkitan COVID-19 di daerah ini.

Pengarah HDOK Sandakan Dr. Francis Paul berkata, PKRC berkenaan boleh menampung seramai 150 pesakit COVID-19 yang stabil dan telah mulai beroperasi mulai petang Ahad.

Terdahulu, beliau telah menerima kunci Asrama Kompleks Sukan Sandakan yang diserahkan oleh Pengurus Lembaga Sukan Sabah Dr. K. H. Tan pada Sabtu.

Dr. Francis bersama pihak pengurusan HDOK Sandakan melahirkan penghargaan kepada Lembaga Sukan Negeri Sabah, Majlis Perbandaran Sandakan dan semua penderma yang telah banyak membantu dalam menjayakan pewujudan PKRC yang ketiga di Sandakan.

Beliau juga melahirkan penghargaan kepada barisan sukarelawan yang tidak kenal erti penat lelah dalam membantu mempersiapkan asrama untuk menampung pesakit COVID-19 di daerah ini.

Untuk rekod, HDOK Sandakan sebelum ini telah mewujudkan PKRC di Kompleks Sukan Sandakan pada minggu lalu yang boleh menampung seramai 200 pesakit COVID-19 yang stabil.



 

  • oleh
  • Advertisement