Anda di sini

Google raikan Benedict Sandin, anak Sarawak pertama menjadi kurator Muzium Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Google memberikan penghormatan terhadap ahli etnologi, Benedict Sandin yang merupakan anak Sarawak pertama menjadi kurator Muzium Sarawak sempena ulang tahun kelahirannya ke-102 hari ini, menerusi doodle atau lakaran pada enjin carian internet.

Pengguna yang melayari laman web itu dapat melihat lakaran Benedict, atau Sandin Attat yang kelahiran Kerangan Pingai, Paku di Spaoh itu bersama replika alat pertahankan diri kaum Iban, terabai, serta model Muzium Sarawak, antara lain.

Google dalam laman webnya berkata, Sandin menerima sanjungan ahli akademik sebagai seorang pakar kaum Iban yang mendedikasikan hidupnya untuk memelihara warisan asli kaumnya.

“Beliau diperkenalkan kepada bahasa Iban yang penuh puitis oleh bapanya, di mana Sandin bukan sahaja berjaya menguasainya tetapi terus mempertahankan.”

Pada 1941, Sandin mula bekerja dalam sektor perkhidmatan awam, dan bakatnya dalam penulisan membuka peluang untuk beliau memegang jawatan sebagai pengarang Pembrita, iaitu penerbitan berita bahasa Iban pertama.

Menurut Google lagi, artikel-artikelnya menarik perhatian kurator Muzium Sarawak ketika itu, yang merekrutnya untuk jawatan khas pada tahun 1952.

Tidak lama kemudian, Sandin diterima masuk program UNESCO di New Zealand, di mana beliau mempelajari teknik muzium dan antropologi.

Beliau pulang ke tanah air dengan tekad untuk mendokumentasi sejarah, budaya, dan bahasa kaum Iban serta merakam amanat ahli salasilah, pensyair, dan ahli sejarah tempatan.

Sebagai tanda penghargaan kepada pencapaian etnografi Sandin yang tidak ternilai, beliau dinamakan Kurator Muzium Sarawak dan Ahli Etnologi Kerajaan pada 1966, jawatan yang dipegangnya untuk hampir sedekad.  

"Terima kasih Benedict Sandin, kerana melindungi dan memelihara tradisi dan warisan asli untuk generasi yang akan datang!," kata Google.
 

Advertisement