Anda di sini

Dua disyaki pengedar dadah diberkas di Sibu

Advertisement
 

SIBU: Seorang lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan di tempat letak kereta sebuah rumah di Lorong RTM di sini, Jumaat lepas. 

Bertindak atas maklumat, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang membuat serbuan sekitar 8.20 malam, menahan dua suspek dalam kenderaan pacuan empat roda.

Ketua JSJN Sarawak, ACP Jasmirol Jamaluddin berkata, polis merampas 890.57 gram Ketamin, Erimin 5 (2.8 gram) dan 65 biji (30.3 gram) pil Ecstacy dengan nilai anggaran rampasan RM45,720.

Polis turut menyita wang tunai RM6,426 serta sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan nilai anggaran RM40,000.

“Selain itu, polis turut menyita seutas utas rantai leher/loket dengan nilai anggaran RM5,360, seutas gelang kaki/loket dengan nilai anggaran RM4,450, tiga bentuk cincin emas dengan nilai anggaran RM7,010 dengan nilai keseluruhan sitaan (harta) RM63,246,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Antara dadah dirampas daripada suspek. - Gambar ihsan polis
Antara dadah dirampas daripada suspek. - Gambar ihsan polis

Katanya, suspek lelaki, 34, yang merupakan seorang peniaga dan suspek wanita, 29, iaitu tukang gunting rambut, dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk tindakan selanjutnya. 

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek lelaki mendapati dia positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamin, Ketamin dan Benzo manakala wanita, negatif dadah.

"Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Katanya, tangkapan ke atas kedua-dua suspek dibuat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan perintah reman diluluskan selama enam hari. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan, apabila disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan hukuman sebatan yang tidak kurang daripada lima belas sebatan.

Dadah dirampas daripada suspek. - Gambar ihsan polis
Dadah dirampas daripada suspek. - Gambar ihsan polis

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sarawak amat menghargai dan mengucapkan jutaan terima kasih di atas keperihatinan seluruh rakyat Negeri Sarawak di dalam penyaluran maklumat tentang aktiviti penyalahgunaan dadah. Kerjasama semua pihak adalah dialu-alukan,” ujarnya. 

  • oleh
  • Advertisement