Anda di sini

Air pasang punca pembaikan paip bocor lambat siap  

Advertisement
 Usaha kerja-kerja pembaikan terbantut akibat berlakunya air pasang.
PEMBAIKAN : Usaha kerja-kerja pembaikan terbantut akibat berlakunya air pasang.

TAWAU : Masalah air pasang menyebabkan kerja-kerja pembaikan paip bocor di Sungai Batu 5 Jalan Apas terbantut dan menyukarkan pihak kontraktor untuk menyiapkannya dengan cepat.

Kebocoran paip di kawasan itu menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air sementara bermula dari Batu 3 Jalan Apas sehingga Bandar Sri Indah.

Jurutera Jabatan Air Tawau Asabri Robenson berkata buat masa ini kontraktor yang ditugaskan membaiki paip tersebut masih menjalankan kerja-kerja memasang bolt dan nurt.

"Sepatutnya pembaikan tersebut dapat diselesaikan kelmarin tetapi cuaca hujan dan berlakunya air pasang di kawasan pembaikan menyebabkan kerja-kerja pembaikan tergendala.

"Saya difahamkan air sungai di lokasi pembaikan tiba-tiba naik dan paip yang mahu dibaiki tenggelam menyebabkan pihak kontraktor terpaksa menunggu air surut terlebih dahulu sebelum menyambung kerja pembaikan,"katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi pihak kontraktor dan difahamkan sekiranya cuaca mengizinkan kerja pembaikan itu akan disiapkan selewatnya jam 6 petang ini.

Terdahulu, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) telah mengeluarkan notis gangguan bekalan air sementara pada 15 Oktober lalu jam 12.30 tengah hari.

Penduduk di kawasan yang terlibat mengalami gangguan tersebut bermula jam 10 malam pada hari yang sama  dan menurut notis yang dikeluarkan itu kerja pembaikan memakan masa tiga hari untuk disiapkan.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan mengenai masalah gangguan bekalan air boleh menghubungi careline 24 jam JANS di talian 088-326888.

Advertisement