Anda di sini

150 JKKK Daerah Betong sertai Bengkel Kepolisan Komuniti Khas

Advertisement
 Ludan (kiri) menyampaikan cenderamata kepada salah seorang penceramah program tersebut.
PENGHARGAAN: Ludan (kiri) menyampaikan cenderamata kepada salah seorang penceramah program tersebut.

BETONG: Sebanyak 150 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Betong menyertai Bengkel Kepolisan Komuniti Khas bagi JKKK Daerah Betong 2020 yang berakhir semalam.

Menurut pegawai mengurus program, Pegawai Tadbir Sarawak SAO Ludan Lintong bengkel itu memberi penekanan kepada peranan yang harus dimainkan oleh setiap JKKK dengan taklimat oleh pelbagai agensi berkaitan.

“Ia adalah bagi memperkasakan fungsi JKKK dalam aspek keselamatan dan pengendalian bencana di peringkat komuniti khasnya ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia dan negara ketika ini.

“Bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkenaan kapasiti lokasi penganjuran, bengkel sehari ini tidak dapat dijalankan serentak untuk semua JKKK di Daerah Betong, tidak termasuk Daerah Spaoh dan Debak.

“Sejumlah 140 JKKK dibahagi kepada empat siri penganjuran yang dijalankan di Dewan Panglima Rentap Betong pada tarikh berbeza. Ia melibatkan kira-kira 700 ahli JKKK yang didaftarkan.

“Setiap siri bengkel melibatkan lapan sesi ceramah yang akan dikendalikan oleh agensi berkaitan bagi memberi penerangan yang jelas tentang peranan yang perlu dimainkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung Bengkel Kepolisan Komuniti Khas Bagi JKKK Peringkat Daerah Betong 2020 yang berlangsung di Dewan Panglima Rentap Betong di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata siri pertama pada 9 Oktober lalu melibatkan 35 JKKK dengan perasmiannya disempurnakan oleh ADUN Layar Gerald Rentap Jabu.

“Seterusnya, siri kedua yang diadakan pada 10 Oktober melibatkan 36 JKKK, manakala siri ketiga pada 16 Oktober (34) dan siri keempat pada 17 Oktober (35).

“Manakala 10 JKKK telah menyertai majlis pelancaran Program Kepolisan Komuniti Bahagian Betong yang berlangsung pada 28 Ogos lalu di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan Betong,” jelasnya.

Program yang dikendalikan oleh Pejabat Daerah Betong itu mendapat kerjasama Pejabat Residen Bahagian Betong, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Betong, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Betong dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong.

Advertisement