Anda di sini

Terdapat pro dan kontra membenarkan perniagaan beroperasi sepanjang PKPB

Advertisement
FOO
FOO

KOTA KINABALU: Sebahagian pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (PKS) berpendapat langkah untuk membolehkan beberapa aktiviti ekonomi beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  tidak akan membantu membendung pandemik COVID-19.

Presiden Persatuan PKS Sabah Foo Ngee Kee berkata, adalah lebih baik sekiranya keselamatan nyawa diberikan keutamaan berbanding perniagaan dalam tempoh sekarang.

"Bagaimanapun, sebahagian daripada pengusaha PKS berpendapat bahawa kebenaran untuk perniagaan beroperasi bukan sebab utama penularan COVID-19, sebaliknya mereka yang masih berdegil untuk mematuhi Prosedur Operasi

Standard (SOP) adalah penyumbang jangkitan wabak berkenaan.

"Mereka memberikan contoh seorang pesakit yang mempunyai gelang tangan (kes aktif COVID-19) didapati keluar dari rumah untuk berkunjung ke supermarket di Donggongon dan ditahan oleh pengawal keselamatan yang bertugas ketika itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Selepas mendengar maklum balas daripada Ahli PKS Sabah, Foo berpendapat bahawa kerajaan berhadapan dengan cabaran untuk mengenal pasti perniagaan jenis apa yang wajar dibenarkan beroperasi dan premis mana yang perlu kekal ditutup.

Katanya, tidak dinafikan terdapat beberapa sektor perniagaan boleh dibenarkan untuk terus beroperasi dengan pematuhan SOP yang ketat.

"Selain itu, kegagalan masyarakat mematuhi SOP yang sentiasa menjadi pelanggan PKS tidak boleh dipandang ringan.

"Sekiranya, terdapat pelanggan yang positif COVID-19...berkontak rapat dengan pekerja-pekerja PKS atau premis perniagaan PKS. Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan para pekerja yang wajib untuk menjalani ujian saringan dan kuarantin.

"Keadaan itu juga akan menyebabkan semua premis perniagaan perlu dinyah kuman, kesemua perkara ini mempunyai kosnya," katanya.

Foo  berkata, jumlah volum perniagaan dalam tempoh PKPB tidak mampu mencapai pendapatan yang boleh membantu menampung kos-kos berkenaan (sekiranya berlaku).

Oleh itu katanya, pengusaha PKS perlu berfikir secara panjang sebelum membuka perniagaan masing-masing. Adalah mungkin lebih baik untuk kekal tidak beroperasi sepanjang pandemik COVID-19 agar risiko jangkitan dapat dikurangkan.

"Ini adalah satu keputusan yang susah untuk dilakukan oleh PKS, iaitu memilih untuk kekal sihat atau berhadapan dengan risiko muflis.

"Kerajaan telah memberikan maklum balas kepada pelbagai rayuan PKS untuk membenarkan sektor ekonomi kekal beroperasi dengan membenarkan PKS sendiri membuat keputusan sama ada mereka mahu berniaga atau sebaliknya," katanya.

Menurutnya, berikutan dengan keputusan kerajaan untuk membenarkan semua aktiviti ekonomi kekal beroperasi. Kerajaan harus memperkasakan usaha untuk menguatkuasakan SOP yang lebih ketat.

"Saya juga ingin menyeru kepada semua pengusaha PKS Sabah untuk berfikir panjang sebelum membuka perniagaan masing-masing dalam tempoh pandemik ini," katanya.

  • oleh
  • Advertisement