Anda di sini

Rossi didapati positif COVID-19

Advertisement
ROSSI
ROSSI

PARIS: Juara dunia MotoGP sebanyak tujuh kali Valentino Rossi pada Khamis berkata dia telah didapati positif bagi COVID-19 dan tidak akan menyertai Grand Prix Aragon pada hujung minggu ini.

Legenda Itali berusia 41 tahun itu berkata dia mungkin juga tidak akan menyertai Grand Prix Teruel pada minggu depan di litar sama di Sepanyol.

“Malangnya, pada pagi tadi saya bangun dan saya tidak rasa bagus. Tulang saya rasa sakit dan saya ada demam sedikit, jadi saya segera menelefon doktor yang memeriksa saya sebanyak dua kali,” Rossi menyebut dalam satu kenyataan.

“Keputusan saringan PCR yang cepat adalah negatif, sama seperti saringan yang saya jalani pada Selasa lepas.

“Tetapi saringan kedua, dengan keputusannya yang dihantar kepada saya, malangnya positif. Saya begitu kecewa kerana saya tidak dapat menyertai perlumbaan di Aragon.”

Rossi, pada musim terakhirnya bersama pasukan kilang Yamaha, mengalami musim yang sukar dengan tiga kejadian terbabas berturut-turut yang meninggalkan ‘The Doctor’ di tempat ke-13 dalam kejohanan dunia.

“Saya mahu optimis dan yakin, tetapi saya menjangka pusingan kedua di Aragon juga tidak akan dapat saya sertai. Saya sedih dan marah kerana saya berusaha sedaya upaya untuk menghormati protokol dan walaupun saringan yang saya jalani pada Selasa lepas adalah negatif, saya telah mengasingkan diri sejak saya tiba dari Le Mans,” tambahnya.

“Walau apa pun, inilah caranya, dan saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengubah situasi ini. Sekarang saya akan mengikuti nasihat perubatan, dan saya hanya berharap saya akan rasa sihat tidak lama lagi.”

Ketiadaan Rossi adalah satu lagi cabaran bagi pasukan kilang Yamaha selepas enam kakitangan teknikal mereka tidak dapat menyertai perlumbaan pada minggu lepas di Le Mans apabila seorang anggota didapati positif – walaupun tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Dua insiden ini mengingatkan kita bahawa tidak kira betapa berhati-hatinya kita, risiko itu sentiasa ada – seperti apa yang kita lihat dengan jumlah jangkitan tyang semakin meningkat di Eropah pada waktu ini,” kata pengarah urusan pasukan Yamaha, Lin Jarvis.

Keadaan Rossi akan dipantau dengan dekat oleh kakitangan perubatan di Tavullia, Itali, di mana dia tinggal.

“Kami sudah menyemak dengan pihak berkuasa kesihatan Itali dan kami telah dinasihatkan bahawa mana-mana anggota pasukan kami yang ada kontak dengan Valentino sehingga Isnin lepas dikecualikan daripada risiko langsung,” tambah Jarvis.

“Walau bagaimanapun, kami akan jauh lebih peka dari sekarang mengenai cara untuk meminimumkan peluang bagi sebarang isu pada masa depan.” — AFP

Advertisement