Anda di sini

Peniaga Bazar JB hilang punca pendapatan, rayu dibenar terus berniaga

Advertisement
 Anggota Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengedarkan notis pemberitahuan penutupan operasi Bazar Johor Bahru atau Bazar Karat  buat sementara waktu mulai semalam bagi mengekang penularan COVID-19 ketika tinjauan Bernama di Johor Bahru, semalam. — Gambar Bernama
EDAR: Anggota Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengedarkan notis pemberitahuan penutupan operasi Bazar Johor Bahru atau Bazar Karat buat sementara waktu mulai semalam bagi mengekang penularan COVID-19 ketika tinjauan Bernama di Johor Bahru, semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: “Bantulah kami, kami mahu terus berniaga. Kami akan jaga prosedur operasi standard (SOP) seperti sedia ada. Inilah periuk nasi kami.”

Itu antara rintihan beberapa peniaga daripada 267 usahawan Bazar Johor Bahru, atau lebih popular dengan nama Bazar Karat, selepas mengetahui bazar berkenaan diarah tutup sementara mulai hari ini dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Wan Razimah Abdul Razak mengakui terkejut apabila menerima notis makluman berhubung penutupan itu daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu pagi kelmarin.

“Kami baru nak bangkit semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lepas yang menyebabkan kami tak boleh berniaga. Payah untuk kami cari modal baharu untuk berniaga semula. Sedih… kerana kami perlu menanggung keluarga,” kata wanita berusia 34 tahun itu kepada Bernama.

Wan Razimah yang lebih 10 tahun berniaga pakaian berharap peniaga sepertinya dapat meneruskan perniagaan memandangkan ia merupakan satu-satunya periuk nasi mereka untuk menyara keluarga dan berjanji untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

Turut terkesan, Siti Aishah Ramli yang juga lebih 10 tahun berniaga pakaian di pasar berkenaan bersama suaminya Hairul Nizam Roslan.

“Secara tiba-tiba kami dapat notis pemberitahuan tidak boleh berniaga lagi selepas ini. Kami cukup terkesan kerana inilah punca pendapatan kami. Di sinilah kami berniaga, dari awal pembukaan (Bazar Karat) hinggalah sekarang.

“Sebelum ini (PKP), kami dah tak berniaga selama tiga bulan. Baru nak mula lepas tiga bulan, ‘dicutikan’ semula dan tidak tahu bila akan dibuka semula Bazar Karat. Kami berharap sangat dapat buka Bazar Karat secepat yang mungkin untuk kita sama-sama berniaga sebab di sinilah punca pendapatan kami semua,” kata ibu anak dua itu.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru Mohammad Salezan Mohd Salleh berkata pihaknya akur dengan keputusan MBJB untuk menghentikan sementara operasi semua pasar pagi, pasar malam, Bazar JB dan pasar tani FAMA yang terlibat bagi mengekang penularan COVID-19.

Bagaimanapun katanya timbul rasa terkilan ekoran tempoh singkat yang diberikan, mengundang rasa bimbang peniaga dan penjaja terhadap punca harian mereka yang kini terjejas.

Justeru, pihaknya berharap kerajaan negeri dapat turun padang dan melihat sendiri kesukaran segelintir penjaja dan peniaga yang kini hilang punca pendapatan selain mencari penyelesaian yang boleh membantu mereka yang terjejas.

“Turunlah ke bawah untuk melihat golongan peniaga ini yang merintih untuk menjana pendapatan kerana situasi sekarang. Mungkin boleh difikirkan bentuk bantuan atau apa jua yang boleh membantu penjaja dan peniaga di Johor Bahru,” katanya. — Bernama

Selain Bazar Karat, penutupan sementara itu turut membabitkan 50 lokasi pasar malam di kawasan pentadbiran MBJB, 16 lokasi pasar pagi di kawasan pentadbiran MBJB, pasar pagi Borneo (Sarawak) di Taman Megah Ria, tapak jualan hasil laut Orang Asli di Taman Bayu Puteri dan empat pasar Tani FAMA, melibatkan kira-kira 4,000 peniaga dan penjaja. — Bernama

Advertisement