Anda di sini

Penganggur dipenjara, sebat kerana rompak berkumpulan guna pisau kertas

Advertisement
 Chia dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Sibu, semalam.
PENJARA DAN SEBAT: Chia dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Sibu, semalam.

SIBU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara berjumlah 19 tahun berserta empat sebatan setelah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau kertas ke atas tiga kedai runcit pada September lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Caroline Bee Majanil yang mendengar kes, menjatuhkan hukuman penjara lima tahun berserta satu sebatan bagi pertuduhan pertama dan enam tahun penjara berserta satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh Chia Chuen Ping, 28, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun berserta dua sebatan, di mana hukuman penjara berjalan serentak.

Mengikut pertuduhan pertama, Chia didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas merompak secara berkumpulan sebuah kedai runcit di Hulu Lanang Lorong 12B pada 8 September 2020, kira-kira jam 7.15 malam.

Dalam kejadian itu, tertuduh yang bersenjatakan pisau kertas telah melarikan satu telefon bimbit milik penjaga kaunter kedai dan wang tunai RM295.

Pertuduhan kedua, Chia didakwa melakukan kesalahan sama dengan seorang yang masih bebas di sebuah kedai runcit di Lorong Belatok 8 pada 21 September 2020, kira-kira jam 4.20 petang.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa dengan seorang lagi yang masih bebas merompak secara berkumpulan sebuah kedai runcit di Jalan Tong Sang pada 24 September 2020, kira-kira jam 3.15 petang.

Dalam kejadian kedua, mereka melarikan wang tunai RM1,500 dan telefon bimbit, sementara wang tunai RM950 dan telefon bimbit dalam kejadian ketiga.

Bagi pertuduhan ini, Chia didakwa mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Seksyen 395 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, sementara Seksyen 397 memperuntukan hukuman sebat sebagai tambahan kepada hukuman yang telah dijatuhkan.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sangari Ponnan sementara tertuduh tidak diwakili.

Advertisement