Anda di sini

Lelaki keluar bekerja semasa dalam tempoh kuarantin, ditahan polis

Advertisement
Polis menangkap lelaki yang ingkar arahan kuarantin di rumah dan keluar bekerja dalam tempoh kuarantin belum tamat.
Polis menangkap lelaki yang ingkar arahan kuarantin di rumah dan keluar bekerja dalam tempoh kuarantin belum tamat.

SIBU: Seorang lelaki berusia 39 tahun yang mendapat arahan kuarantin di rumah di Rantau Ensurai, Batang Oya ditangkap di Kuala Matu semalam selepas keluar rumah untuk bekerja dalam tempoh kuarantin belum tamat.

Ketua Polis Daerah Dalat, DSP Saga Chunggat berkata lelaki itu diperintahkan menjalani kuarantin COVID-19 di rumah mulai 4 hingga 17 Oktober sekembalinya dari Kuala Lumpur.

"Satu swab telah diambil dan keputusan negatif. Swab kedua diambil dan sebelum keputusan diperolehi, lelaki terbabit telah keluar rumah untuk bekerja di Kuala Matu, dimana tempoh kuarantinnya masih belum tamat.

"Ketidakhadirannya  di rumah diketahui semasa pemeriksaan rutin harian Pasukan Pemantauan dari anggota polis Balai Polis Stapang pada 15 Oktober. Menurut ibunya, dia keluar rumah dipercayai bersama majikannya pada petang 14 Oktober untuk bekerja di Kuala Matu walaupun dilarang oleh ibunya," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tanpa berlengah, Saga berkata, pihak polis IPD Dalat telah berusaha mengesan lelaki berkenaan dengan bantuan pihak polis IPD Daro.

"Pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Dalat diketuai Inspektor See Chie Chien telah menangkap lelaki tersebut di Kuala Matu pada pagi 16 Oktober. Setelah selesai dokumentasi, dia dilepaskan dengan jaminan dan diarah menghabiskan tempoh kuarantin sehingga 17 Oktober.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," ujarnya.

Saga menegaskan kerajaan negeri Sarawak dan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius tentang pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di negeri ini.

"Pihak polis bersama dengan agensi lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan mengadakan pemeriksaan setiap hari ke atas semua rumah orang yang dikenakan pengawasan di bawah kuarantin di rumah setiap hari.

"Kita tidak akan kompromi terhadap sebarang pelanggaran SOP demi kepentingan keselamatan masyarakat setempat khususnya di Dalat.

"Walaupun tahap pematuhan SOP di Dalat adalah memuaskan setakat ini, saya menyeru semua masyarakat setempat termasuk para peniaga-peniaga meneruskan kerjasama dalam menentukan pematuhan SOP seperti mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka di tempat awam serta sentiasa menjaga kebersihan diri," katanya.

Advertisement