Anda di sini

Kerajaan salur pelbagai bantuan, jaga kebajikan rakyat

Advertisement
 Talib (kiri) bersama Anggang (kanan) dan Hussaini (tengah) melepaskan anak udang galah ke Sungai Kemena sempena Majlis Penyampaian BMTN, BIPPN dan AFF 2020 DUN Jepak, semalam.
TINGKAT SUMBER SUNGAI: Talib (kiri) bersama Anggang (kanan) dan Hussaini (tengah) melepaskan anak udang galah ke Sungai Kemena sempena Majlis Penyampaian BMTN, BIPPN dan AFF 2020 DUN Jepak, semalam.

BINTULU: Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan untuk memastikan kebajikan rakyat terpelihara, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip.

Namun demikian katanya, masih ada pihak yang merungut kononnya tiada bantuan, walhal kerajaan sentiasa menyalurkan bantuan untuk meringankan beban rakyat.

“Kalau ada pihak yang bercakap demikian (tiada bantuan), jangan dengar, walhal kerajaan hari ini telah banyak memberi pelbagai bantuan untuk rakyat.

“Mereka pernah diberi peluang menjadi kerajaan sehinggalah kembali menjadi pembangkang sentiasa bercakap tentang hendak membantu.

“Tetapi rekod menghulur bantuan tidak ada. Turun padang pun tidak, dekat pilihan raya berduyun-duyun hendak turun padang,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak tersebut berkata demikian semasa menyempurnakan perasmian Majlis Penyampaian Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN), Bantuan Input Peralatan Perikanan Nelayan (BIPPN) dan Input Pertanian Dana Fasilitasi Pertanian (AFF) 2020 DUN Jepak di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jepak Hulu semalam.

Berbeza dengan kerajaan sedia ada, Talib berkata wakil rakyatnya sentiasa turun padang, menyantuni rakyat, meninjau keadaan, berbincang dengan pegawai kerajaan serta mencari jalan untuk menyalurkan bantuan.

Justeru katanya, rakyat khususnya para nelayan perlu bersyukur serta berterima kasih kepada kerajaan terutamanya jabatan-jabatan kerajaan yang memberikan bantuan secara berterusan.

“Jeti ada, tempat pendaratan (ikan) ada, tempat berniaga (ikan) ada, semua disediakan kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) untuk para nelayan di sini.

“Kalau dulu dapat ikan banyak, ikan dimasinkan tiada nilai, (tetapi) sekarang peti ais besar, orang ramai yang makan ikan lebih ramai, jadi pendapatan (nelayan) akan menjadi stabil,” jelasnya.

Ujarnya, bantuan kepada nelayan bukan sekadar dari segi wang ringgit, bahkan penyediaan kemudahan jeti dan tempat berniaga hasil laut bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan tinggi.

Pada majlis itu, Talib bersama tetamu lain menyempurnakan pelepasan 3,000 anak udang galah yang dibekal oleh Stesen Perikanan Darat Sematan ke Sungai Kemena.

Beliau turut menyampaikan replika cek BMTN berjumlah RM276,000 untuk 184 nelayan, BIPPN berjumlah RM388,000 untuk 194 nelayan dan AFF berjumlah RM1 juta untuk 109 nelayan di kawasan DUN Jepak.

Hadir sama Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim, Pemangku Pegawai Pertanian Bahagian Bintulu Anggang Jimbun, Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Kampung Jepak Bintulu ASP Ezuandi Bahadin, Penolong Pegawai Perikanan Kanan Jabatan Pertanian Bintulu Kairulnieza Waynie.

  • oleh
  • Advertisement