Anda di sini

Kelengkapan HMATM tiba di Tawau

Advertisement
 Kelengkapan HMATM yang dihantar ke Sabah menaiki pesawat angkut jenis A400M.
HANTAR: Kelengkapan HMATM yang dihantar ke Sabah menaiki pesawat angkut jenis A400M.

 ... Kendali rawatan khusus kepada kes-kes selain COVID-19 

KOTA KINABALU: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang beroperasi di Pangkalan Udara Subang (PU Subang) mengaturgerak pesawat angkut jenis A400M  bagi misi penghantaran kelengkapan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HMATM) ke Tawau.

Juruterbang pesawat A400M dari No 22 Skn Mejar Mohd Shafique Mohd Amin TUDM menjelaskan misi penghantaran terbabit  membawa lebih kurang 14 tan muatan terdiri daripada kelengkapan Hospital Medan ATM dan juga peralatan perubatan.

Katanya proses memuatkan kelengkapan HMATM dan peralatan perubatan dijalankan seawal jam 6.30 pagi selama sejam secara teliti melibatkan anggota Cabang Pergerakan Udara Subang serta 'loadmaster' pesawat A400M.

Menurutnya penerbangan hari ini bukan sahaja melibatkan penghantaran ke Tawau, tapi ianya turut melibatkan penghantaran beberapa peralatan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke sini.

“Antara peralatan yang dihantar adalah seperti peralatan perlindungan diri (PPE), isolation gown, mask dan Tyvek suit bagi kegunaan pusat kesihatan di Sabah. Selain itu, terdapat juga peralatan perubatan daripada Mercy Malaysia.

“Sebaik tiba di Tawau pada jam 11.49 pagi, proses penurunan kelengkapan HMATM dibantu oleh Pusat Bantuan Operasi Udara (PBOU), 8 Rejimen Sempadan, 7 Rejimen Askar Melayu Diraja, 26 Rejimen Askar Melayu Diraja, Angkatan Pertahanan Awam, JIM, Majlis Perbandaran Tawau, 575 Pasukan Pelabuhan dan Jabatan Penjara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata misi penghantaran kelengkapan HMATM ini pertama kali dilaksanakan oleh TUDM sepanjang tempoh COVID-19 dan Perkhidmatan Kesihatan ATM melalui Kor Kesihatan Diraja Malaysia (KKD) akan mengoperasikan Hospital Medan ATM di Tawau dengan kerjasama KKM. 

“Seramai empat pegawai dan 29 anggota dari KKD turut diterbangkan dalam penerbangan ini bagi membuat persiapan pengoperasian Hospital Medan yang dijangka beroperasi dalam masa terdekat.

“Penerbangan pada hari ini telah mengambil masa lebih kurang 12 jam yang mana turut membawa pulang sampel 'swab test' Covid-19 daripada Tawau, Kota Kinabalu dan Labuan bagi dilaksanakan ujian di makmal semenanjung Malaysia,” katanya.

 Kru A400M serta empat pegawai dan 29 anggota dari KKD turut diterbangkan dalam penerbangan ini bagi membuat persiapan pengoperasian HMATM.
SYABAS: Kru A400M serta empat pegawai dan 29 anggota dari KKD turut diterbangkan dalam penerbangan ini bagi membuat persiapan pengoperasian HMATM.

Tambahnya TUDM turut aturgerak sebuah pesawat C130H dari No 20 Skn, PU Subang bagi melaksanakan penghantaran peralatan perubatan KKM ke Sabah semalam.

“Bantuan penerbangan ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa tertakluk kepada sebarang keperluan semasa. 

“TUDM akan sentiasa bersedia dan komited di dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan demi kesejahteraan negara dan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Anak kapal pesawat angkut A400M yang turut terlibat dalam misi ini adalah Pembantu Juruterbang Kapt Noor Mohamad Farhan Mohamad Noor TUDM, dua 'loadmaster' iaitu FSjn Abdul Rahman Sumsudin dan Sjn U Kamarul Ariffin Zulkifli serta tiga 'supplementary crew' iaitu Sjn U Noor Azizan Mohd Nor, LUK Amirul Syazwan Ballazi dan LUK Muhammad Arif Hassan.

Hospital medan yang akan beroperasi di Kompleks Sukan Tawau ini akan mempunyai kapasiti 100 katil termasuk empat katil ICU yang akan memberikan rawatan khusus kepada kes-kes selain COVID-19 bagi membolehkan Hospital Tawau memberikan fokus kepada perkhidmatan rawatan bagi kes COVID-19.

  • oleh
  • Advertisement