Anda di sini

Ingkar kuarantin, laporan polis dibuat

Advertisement
Gambar fail
Gambar fail

KUCHING: Seorang lelaki yang sebelum ini diarahkan menjalani kuarantin dirumahnya di Bau, dikesan mengingkari arahan tersebut.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, ia berikutan pemeriksaan ke atas  Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

“Laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan. 

“Manakala seorang lagi lelaki yang diarah kuarantin di rumah dengan memakai wristband juga telah dikesan berada di bandar di Bau,” kata Jawatankuasa itu hari ini.

Selain itu, pihak PDRM juga telah mengeluarkan sembilan kompaun di Daerah Kuching (3), Sarikei (3), Miri (2) dan Betong (1).

“Sementara Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan  telah mengeluarkan 68 amaran lisan, bertulis dan sitaan di kawasan seliaan pelbagai pihak berkuasa tempatan,” ujarnya.

Mengenai pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, kata JPBNS, sebanyak 1,491 premis telah dipantau hari ini.

“Operasi pemantauan pematuhan itu melibatkan Pasaraya, Restoran, Kilang, Bank, Pejabat Kerajaan, Penjaja, Pasar Tani/Awam, Tempat Ibadah, Tempat Riadah, Tapak Pembinaan dan lain-lain,” ujarnya.

Bagi sekatan jalan raya Op Benteng yang dijalankan di lima daerah di Lundu, Bau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu, JPBNS memberitahu, sebanyak 1,427 jumlah kenderaan telah diperiksa.

“Pihak penguatkuasaan akan memperketatkan kawalan di jalan-jalan tikus terutama di sepanjang sempadan Sarawak dan Kalimantan dengan menambah bilangan anggota keselamatan untuk memastikan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dapat dikurangkan bagi mengekang penularan COVID-19,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement