Anda di sini

COVID-19: Kes melonjak 869, tertinggi sejak pandemik landa negara - KP Kesihatan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Jumlah kes baharu COVID-19 di Malaysia melonjak kepada 869 kes hari ini iaitu yang tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik itu melanda negara.

Empat kematian dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia akibat pandemik itu setakat ini ialah 180 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu itu menjadikan keseluruhan kes di Malaysia kini melepasi angka 19,000 iaitu 19,627 kes, dengan kes aktif kebolehjangkitan meningkat kepada 6,886.

"Kes baharu hari ini kesemuanya penularan dalam negara melibatkan 745 warganegara dan 124 bukan warganegara dengan negeri Sabah masih mencatat jangkitan baharu tertinggi iaitu 451 kes (51.9 peratus)," katanya dalam sidang media secara maya yang disiarkan melalui Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Dr Noor Hisham berkata secara keseluruhan, sebanyak 224 kes (25.8 peratus) hari ini adalah daripada Kluster Tembok, Kluster Penjara Reman dan Kluster Penjara Seberang Perai, yang merupakan kes terasing di dalam penjara serta tidak menjangkiti masyarakat. 

Sebanyak 20.3 peratus melibatkan kes-kes di Lembah Klang iaitu Selangor (159 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (15 kes) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (dua kes).

Memperincikan jumlah kes di negeri lain, Dr Noor Hisham berkata Pulau Pinang mencatat 189 kes, Kedah (38), Sarawak dan Perak masing-masing empat kes, Terengganu (tiga), Johor (dua) manakala Negeri Sembilan dan Melaka masing-masing satu kes.

“Daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, empat kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept 2020 adalah sebanyak 441 kes,” katanya.

KKM turut mengenal pasti lima kluster baharu COVID-19, menjadikan kluster aktif di Malaysia setakat ini sebanyak 81. 

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata terdapat 302 kes yang pulih hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya ialah 12,561.

Sehingga kini, terdapat 91 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 30 kes memerlukan bantuan pernafasan.- Bernama

Advertisement