Anda di sini

COVID-19: Empat kes baharu di Sarawak, dua daripadanya kanak-kanak

Advertisement
Statistik terkini COVID-19 di Sarawak.
Statistik terkini COVID-19 di Sarawak.

KUCHING: Sarawak mencatatkan empat kes positif COVID-19 hari ini, dengan kesemua kes dikesan di Daerah Kuching.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 763 kes.

“Hari ini terdapat empat kes baharu COVID-19 iaitu kes jangkitan tempatan dikesan di Daerah Kuching. Kesemua kes ini adalah kontak rapat kepada kes positif COVID- 19 yang dikesan melalui saringan kali kedua iaitu pada hari Ke-10 semasa kontak-kontak ini di dalam arahan kuarantin 14 hari. 

“Indeks kes kepada kes-kes ini adalah kes Ke-719 iaitu seorang warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 (Sabah) sebelum disaring dan didapati positif COVID-19 pada 6 Oktober 2020,” kata Jawatankuasa itu menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, JPBNS berkata, keempat-empat kes itu terdiri daripada kes Ke-760, kes Ke-761, kes Ke-762 dan kes Ke-763 yang masing-masing mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

Menurutnya, Kes Ke-760 melibatkan lelaki warganegara tempatan, kes Ke-761 (kanak-kanak lelaki warganegara tempatan), kes Ke-762 (wanita warganegara tempatan) dan kes Ke-763  melibatkan kanak-kanak lelaki warganegara tempatan. 

“Masa pendedahan kes-kes ini adalah diantara 2 hingga 6 Oktober 2020 semasa Kes Ke-719 menjalani kuarantin di rumah. Saringan ujian rT-PCR pertama telah dijalankan pada 6 Oktober dan keempat-empat kes ini telah didapati negatif COVID-19 pada 8 Oktober 2020. 

“Mereka ini telah dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani baki arahan kuarantin 14 hari selepas terdapat tiga kes baharu dikesan pada saringan pertama pada 8 Oktober 2020. Kes-kes ini telah disaring kali kedua pada 16 Oktober 2020 dan keputusan ujian rT-PCR mereka didapati positif pada hari ini,” katanya.

Tambahnya, Kesemua kes ini tidak menunjukkan tanda dan gejala jangkitan COVID-19 dan mereka telah pun dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, JPBNS memaklumkan tiada kluster baharu yang telah dikesan hari ini, namun terdapat dua kluster iaitu Kluster Bah Arnab di Kuching dan Kluster Putra di Daerah Bintulu masih aktif.

“Dimaklumkan juga terdapat empat kes baru yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini. 

“Semua kes-kes baru yang telah pulih dan dibenarkan discaj ini adalah dari HUS . Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes postif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini adalah seramai 700 orang atau 91.74 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak,” katanya.

Jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai 44 orang iaitu 27 kes di wad pengasingan di HUS, lapan kes di Hospital Miri, tujuh kes Hospital Bintulu dan dua kes di Hospital Sibu.

“Tiada kes COVID-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari ini. Tiada kes kematian baharu dilaporkan pada hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kematian adalah kekal seramai 19 orang atau 2.49 peratus,” katanya.

Hari ini juga, kata JPBNS, tujuh orang disyaki (PUI) baru telah dilaporkan dan satu PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

Manakala seramai 162 orang di bawah pengawasan (PUS) mendaftar masuk untuk menjalani kuarantin di 23 buah hotel di seluruh Sarawak. 

Empat daerah iaitu Kuching, Sibu, Bintulu dan Lubok Antu kekal berstatus Kuning manakala 36 daerah lain di Sarawak kekal berstatus Hijau.
 

  • oleh
  • Advertisement