Anda di sini

Clarke yakinkan Scotland untuk bertenang menjelang aksi playoff akhir Euro 2020

Advertisement
 Clarke (kanan) menyaksikan anak buahnya beraksi dalam perlawanan Liga Negara-Negara UEFA di antara Scotland dan Slovakia di Hampden Park, Glasgow. — Gambar AFP
KOMITED: Clarke (kanan) menyaksikan anak buahnya beraksi dalam perlawanan Liga Negara-Negara UEFA di antara Scotland dan Slovakia di Hampden Park, Glasgow. — Gambar AFP

GLASGOW: Steve Clarke percaya Scotland perlu bertenang menjelang perlawanan playoff akhir Euro 2020 pada bulan depan di Serbia selepas mereka meneruskan siri tanpa kalah kepada lapan perlawanan berturut-turut dengan kemenangan 1-0 dalam Liga Negara-Negara ke atas Republik Czech pada Rabu lepas.

Ryan Fraser menjaringkan gol tunggal di Hampden untuk membolehkan para pemain Clarke menguasai Kumpulan B2 dalam Liga Negara-Negara, dengan kelebihan empat mata ke atas pasukan Czech dengan baki dua perlawanan lagi.

Memenangi kumpulan itu mungkin bermakna perlawanan playoff untuk layak ke Piala Dunia 2022, tetapi fokus segera Scotland adalah untuk mara ke kejohanan besar pertama dalam tempoh 22 tahun apabila mereka bertandang ke Serbia pada 12 November.

“Kita sedar tentang kepentingan perlawanan pada bulan depan,” kata Clarke kepada Sky Sports.

“Ia adalah penting untuk sentiasa fokus, bertenang, kekal dengan kebolehan kami dan meningkatkan lagi prestasi.”

Scotland mula menuai hasil daripada keupayaan Clarke menyusun pertahanan apabila mereka merekodkan tiga perlawanan tanpa dibolosi jaringan dalam masa seminggu selepas mereka menewaskan Israel dalam penentuan tendangan penalti pada peringkat separuh akhir playoff Euro dan mencatatkan satu lagi kemenangan 1-0 ke atas Slovakia dalam Liga Negara-Negara.

“Ia menunjukkan perubahan yang kami buat pada bulan lepas nampak seperti keputusan yang betul,” kata Clarke lagi mengenai peralihannya kepada format 5-3-2.

Pencapaian itu lebih mengagumkan selepas Clarke kehilangan tiga pemainnya yang lebih bagus iaitu Stuart Armstrong, Kieran Tierney dan Ryan Christie bagi ketiga-tiga perlawanan itu selepas Armstrong didapati positif bagi koronavirus, manakala Tierney dan Christie terpaksa mengasingkan diri kerana ada kontak rapat dengannya.

Kapten Andy Robertson turut digantung bagi lawatan pasukan Czech pada Rabu lepas, tetapi keempat-empat mereka dijangka akan kembali bermain untuk menentang Serbia.

“Ia adalah satu usaha skuad yang besar selama 10 hari kami berada di kem,” kata Clarke.

“Kami cuba meneruskan momentum yang kami telah bina sejak beberapa perlawanan lalu.”

“Ia menunjukkan kami ada peluang untuk datang bersama dan berjaya,” kata pemain tengah Aston Villa, John McGinn, yang menggantikan tempat Robertson sebagai kapten.

“Kami harap kami dapat menggunakan ini sebagai keyakinan menjelang perlawanan menentang Serbia.” — AFP

Advertisement