Anda di sini

14,000 tan kelengkapan perubatan, 73 petugas kesihatan ATM diterbangkan ke Tawau

Advertisement
Gambar Bernama
Gambar Bernama

PETALING JAYA: Sejumlah 14,000 tan kelengkapan perubatan serta 73 pegawai dan anggota dihantar ke Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau, Sabah menerusi penerbangan pertama perkhidmatan kesihatan pasukan keselamatan itu pagi tadi.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Lt Jen Datuk Pahlawan Dr Md Amin Muslan berkata penghantaran petugas dan kesemua kelengkapan termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) itu sebagai persediaan penugasan di hospital medan yang dijadual beroperasi Selasa depan.

"Ini kali pertama kali kolaborasi kami dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membantu mereka, khususnya memberi ruang kepada Hospital Tawau untuk beroperasi sepenuhnya menangani COVID-19.

"Pihak ATM menerusi hospital medan akan terus berada di sini untuk tempoh yang diperlukan KKM sehingga keadaan penularan wabak ini terkawal," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Subang dekat sini, hari ini.

Kelengkapan perubatan serta petugas kesihatan terbabit berlepas pada kira-kira 8.30 pagi menerusi pesawat pengangkut A400M dan mendarat di Tawau sebelum dijadualkan kembali dengan membawa balik sampel ujian saringan COVID-19 dari Sabah.

Ahad lepas, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata  kerajaan akan membuka Hospital Medan ATM yang dijangka mula beroperasi 20 Okt ini.

Hospital medan yang dioperasikan oleh  ATM itu  bertujuan memberikan bantuan sokongan merawat kes selain COVID-19, pembedahan trauma dan kecemasan, wad bersalin serta lain-lain.

Sementara itu di TAWAU, Komander Hospital Medan ATM Kol. Dr Shamsul Bahary Muhamad berkata ketika ini persiapan di hospital berkenaan pada tahap 70 peratus.

Menurutnya ujian penuh kesemua sistem di hospital itu akan dijalankan pada 19 Okt, sebelum beroperasi secara rasmi pada 20 Okt.

"Ketika ini susun atur hospital giat dijalankan, di samping persiapan peralatan dan kelengkapan hospital medan yang melibatkan atur gerak kemudahan perubatan ATM daripada Bravo Kompeni Batalion  Pertama Perubatan yang berpangkalan di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Katanya hospital medan juga akan menerima ketibaan tim induk daripada Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Hospital Angkatan Tentera Lumut, Hospital Angkatan Tentera Terendak serta Batalion Kedua Perubatan dan elemen perubatan ATM dari Semenanjung. 

"Tim induk ini terdiri daripada Timbalan Komander Hospital Medan ATM, pakar bedah, pakar bius dan pakar kecemasan serta pegawai dan petugas kesihatan ATM bagi penugasan fasa pertama Hospital Medan ATM bertempat di Kompleks Sukan Tawau," katanya. - Bernama
 

Advertisement