Anda di sini

Nahas helikopter tentera di Afghanistan

Advertisement
 Penduduk bersama harta benda yang dapat dibawa bersama melarikan diri dari daerah Nadali ke Lashkar Gah di Helmand, kelmarin. — Gambar AFP
LARI: Penduduk bersama harta benda yang dapat dibawa bersama melarikan diri dari daerah Nadali ke Lashkar Gah di Helmand, kelmarin. — Gambar AFP

LASHKAR GAH: Dua helikopter tentera yang memindahkan anggota tentera yang tercedera dalam pertempuran di selatan Afghanistan telah bertembung kelmarin, mengorbankan sembilan orang di dalamnya, menurut pihak kerajaan.

Nahas berlaku ketika helikopter itu berlepas dari wilayah terpencil Helmand, di mana perbalahan meletus di antara pasukan tentera Afghan dan Taliban, menurut jurucakap gabenor wilayah Omar Zawak.

Pihak kementerian pertahanan Afghanistan menyatakan pertembungan itu disebabkan oleh masalah teknikal.

Insiden berlaku selepas pertempuran sengit di bandar utama wilayah Lashkar Gah, di mana militan Taliban melancarkan siri serangan pada Ahad lepas dalam cubaan untuk menawan bandar tersebut.

Ia menjelaskan bahawa pasukan tentera AS telah dimaklumkan mengenai serangan udara itu dalam usaha untuk mempertahankan pasukan tentera Afghan.

Pertempuran turut menyebabkan 30,000 pendduuk melarikan diri, kata Sayed Mohammad Ramin, pengarah bahagian pelarian untuk wilayah Helmand.

“Sebahagian keluarga yang masih tinggal secara terbuka di jalan raya di Lashkar Gah, kami tidak mempunyai khemah untuk diberikan kepada mereka,” beliau memberitahu AFP.

Mereka yang melarikan diri bersesak di atas motosikal, barang-barang mereka diikat di belakang, atau di dalam teksi atau bas yang terlalu sesak.

“Pertempuran sangat tegang sehinggakan saya tidak mempunyai masa untuk mengambil pakaian tambahan lain.

“Saya hanya membawa ahli keluarga saya,” menurut Attaullah Afghan, peladang yang melarikan diri bersama 12 anggota keluarganya.

Penduduk tempatan Hekmatullah memberitahu AFP beliau telah terpaksa melarikan diri selepas sebiji mortar mengenai rumah jirannya, membunuh dua wanita.

“Saya hanya ingin sedikit kedamaian untuk mampu dalam keadaan gembira hidup bersama anak-anak saya dan melakukan tugas saya sebagai seorang peladang,” kata seorang lelaki lain dari ibu negara.

Pasukan tentera Afghan telah menangkis cubaan mengambilalih bandar dan situasi keselamatan akan kembali seperti biasa tidak lama lagi, menurut kenyataan kementerian pertahanan kelmarin.

Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan menyatakan beribu-ribu orang melarikan diri serta menyeru kepada pejuang Taliban dan pasukan keselamatan untuk mengambil semua tindakan yang boleh dilaksanakan bagi melindungi orang awam dan membenarkan laluan selamat untuk mereka yang berharap meninggalkan kawasan tersebut.

Helmand, kubu kuat Taliban, adalah di mana pasukan tentera antarabangsa berjuang dalam beberapa kempen paling berdarah bagi peperangan Afghanistan selama 19 tahun.

Pengganas berjanji akan mengurangkan keganasan dan mengelak untuk menyasarkan kawasan bandar dalam satu perjanjian yang ditandatangani bersama dengan Washington pada Februari.

Mereka turut bersetuju untuk memulakan rundingan damai dengan kerajaan Afghan, sebagai balasan bagi satu janji AS untuk menarik balik semua anggota tentera asing dari negara pada Mei akan datang.

Rundingan itu bermula pada bulan lepas di Qatar namun kelihatan sebagai tertangguh ketika Taliban dan pentadbiran Kabul berusaha untuk membentuk rangka kerja asas rundingan. — AFP

Advertisement