Anda di sini

COVID-19: 629 kes baharu, enam lagi kematian

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini kekal tiga angka untuk 16 hari berturut-turut dengan 629 kes hari ini, selain turut merekodkan enam lagi kematian baharu dan 245 kes pulih.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan perkembangan baharu itu, menjadikan keseluruhan kes di Malaysia kini sebanyak 18,758 kes, manakala jumlah kematian akibat wabak itu adalah 176 individu dan 12,259 kes pulih sepenuhnya.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 6,323 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya dalam sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Sabah terus mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi iaitu 489 kes, susulan lebih banyak keputusan makmal diperoleh.

Beliau berkata makmal di Sabah telah menjalankan 3,296 ujian semalam dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membantu menghantar 5,340 sampel ke Semenanjung Malaysia untuk diproses segera.

Dr Noor Hisham berkata bagi negeri-negeri di Lembah Klang yang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Selangor mencatat 50 kes baharu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (lapan kes) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (dua kes).

Katanya Pulau Pinang mencatat 33 kes, Wilayah Persekutuan Labuan (19 kes), Perak (sembilan kes), Kedah (tujuh kes), Johor (lima kes), Melaka (tiga kes) dan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Pahang.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 627 kes adalah penularan di dalam negara membabitkan 577 warganegara dan 50 rakyat asing, manakala dua kes import dilaporkan masing-masing melibatkan warganegara  yang pulang dari New Zealand dan Singapura.

“Bagi penularan tempatan,16 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept adalah sebanyak 437 kes,” katanya.

Mengenai kematian baharu, beliau berkata lima kes direkodkan di Sabah yang melibatkan rakyat Malaysia dan seorang warga asing di Kuala Lumpur. - BERNAMA.

Advertisement