Anda di sini

25 pendatang haram ditahan di tapak pembinaan Hospital Umum Sarawak

Advertisement
Pemeriksaan ke atas pekerja asing di tapak pembinaan Hospital Umum Sarawak, semalam.
Pemeriksaan ke atas pekerja asing di tapak pembinaan Hospital Umum Sarawak, semalam.

KUCHING: Seramai 25 pendatang haram ditahan dalam operasi bersepadu melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa di beberapa tapak pembinaan di sekitar Hospital Umum Sarawak di sini, semalam bagi mengekang penularan wabak COVID-19 .

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan malam Khamis memaklumkan operasi yang bermula pada pukul 3 petang itu dilakukan setelah dua kes positif COVID-19 dikesan melibatkan pendatang tanpa izin, semalam.

“Semua pekerja menjalani ujian saringan COVID-19 dan dikuarantin. JPBNS dan agensinya telah mengambil tindakan pantas untuk menyiasat dan memeriksa premis-premis terlibat bagi mengawal penularan wabak berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sebanyak 150 petugas dari JPBN, Jabatan Kesihatan Negeri, polis, imigresen dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terlibat dalam operasi tersebut.

"Pihak yang melanggar undang-undang dan prosedur operasi standard akan disiasat," menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Advertisement