Anda di sini

Ingkar SOP, pemuda tumbuk pengawal keselamatan gagal bayar denda dipenjara

Advertisement
 Zaipul (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret semalam.
PENJARA: Zaipul (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret semalam.

SIBU: Pemuda yang bertindak menumbuk seorang pengawal keselamatan di Pasar Sentral Sibu pada 10 Oktober lepas, dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM2,000.

Tertuduh, Zaipul Engkabang, 25, bagaimanapun gagal membayar denda tersebut dan diperintah menjalani hukuman penjara sebulan.

Mengikut pertuduhan, Zaipul didakwa bersama seorang lagi rakannya yang masih bebas, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang pengawal keselamatan berumur 32 tahun.

Beliau yang dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, didakwa melakukan kesalahan itu di Pasar Sentral Sibu pada 10 Oktober 2020, kira-kira jam 11.45 pagi.

Mengikut fakta kes, pengadu sedang bertugas bagi memastikan pengunjung yang hendak memasuki Pasar Sentral Sibu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dua lelaki kemudian bertindak memotong barisan dan datang ke meja tempat pengadu bertugas tanpa memakai pelitup muka dan tidak mengambil bacaan suhu badan.

Pengadu cuba menasihati kedua-dua lelaki terbabit sebelum pengadu yang dipegang dari belakang oleh salah seorang lelaki itu telah ditumbuk di bahagian belakang kepala dan telinga kanan.

Kedua-dua lelaki itu kemudian melarikan diri, namun salah seorang daripada mereka iaitu tertuduh telah berjaya ditangkap.

Siasatan kemudian mendapati tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas, tidak memakai pelitup muka serta mencatatkan suhu badan dan nombor telefon pada buku pendaftaran yang disediakan.

Pengadu cuba memberi penjelasan sebelum ditumbuk tertuduh di bahagian belakang kepala sebelah kiri dan telinga kanan, manakala seorang lagi lelaki yang masih bebas bertindak memegang tangan pengadu dari belakang.

Kejadian itu turut disaksikan rakan pengadu.

Advertisement