Anda di sini

Dua pendatang asing tanpa izin, antara empat positif COVID-19 di Sarawak hari ini

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak mencatatkan empat kes import positif COVID-19 baharu iaitu tiga kes di Daerah Kuching dan satu kes di Miri, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) itu berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 759 kes.

"Di daerah Kuching dua kes (import A) iaitu kes ke-756 dan ke-757 merupakan dua orang rakyat Indonesia dari Kalimantan Barat yang telah memasuki Sarawak pada 12 Oktober 2020.

"Kes-kes ini telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan saringan COVID-19 di sebuah hospital swasta di Kuching sebagai syarat untuk bekerja di Sarawak. Kes-kes ini juga didapati telah memasuki Sarawak secara tidak sah," katanya pada sidang media harian mengenai COVID-19 di Sarawak di sini, hari ini.

Uggah berkata, dengan itu mereka tidak menjalani prosedur kuarantin wajib 14 hari dan selepas tiba di Sarawak seperti pelawat-pelawat lain dari luar negara. 

Katanya, mereka telah menjalani saringan COVID-19 pada 14 Oktober 2020 dan keputusan ujian rT-PCR mereka telah didapati positif COVID-19 pada hari yang sama dan kes tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala jangkitan awal COVID-19. 

"Berdasarkan sejarah perjalanan, kedua-dua kes ini telah mendapat jangkitan semasa masih berada di negara asal iaitu di Kalimantan, Indonesia sebelum tiba di Sarawak pada 12 Oktober 2020. Oleh itu, kes ini dikategorikan sebagai kes Import A," katanya.

Beliau memaklumkan kedua-dua kes ini juga telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut dan siasatan lanjut kepada kes ini masih dijalankan serta pengesanan kontak kepada kes ini juga sedang giat dijalankan.

Mengenai satu lagi kes di Kuching, katanya kes merupakan kontak rapat kepada kes ke-752 yang dikesan melalui pengesanan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 yang telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan dan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.

Uggah berkata, kes juga adalah ahli keluarga terdekat kepada kes Ke-752 dan kes menetap di Daerah Kuching dan telah melawat Kes-752 semasa kes tersebut sedang menjalani kuarantin di rumah di Daerah Samarahan. 

"Pada 13 Oktober 2020, kes telah hadir ke sebuah klinik kesihatan kerajaan dan telah menjalani ujian saringan ujian rT-PCR COVID-19 kes telah didapati positif pada 14 Oktober 2020. 

"Kes telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut dan kes  tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala jangkitan COVID-19," katanya.

Beliau berkata, kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan tetapi telah dijangkiti di daerah yang berbeza dengan alamat menetap iaitu Import C.

Bagi kes di Miri katanya, kes merupakan seorang lelaki warganegara tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan dari Kota Kinabalu, Sabah dan singgah di Labuan sebelum tiba di Lapangan Terbang Miri pada 10 Oktober 2020. 

Beliau berkata, kes merupakan seorang pekerja di salah sebuah kapal gas asli cecair (LNG) terapung di luar persisir Sabah dan telah berada di atas kapal dari 3 September 2020 sebelum sign off pada 10 Oktober 2020.

"Setibanya di Lapangan Terbang Miri, kes telah dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.

"Pada 13 Oktober 2020, kes telah menjalani saringan pertama untuk COVID19 dan keputusan ujian rT-PCR kes telah didapati positif pada 14 Oktober 2020 dan  telah dimasukkan ke Hospital Miri pada hariyang sama untuk rawatan lanjut," katanya.

Uggah memberitahu kes ini telah mengalami sakit tekak pada 8 Oktober 2020.

Kes dikategorikan sebagai kes Import-B iaitu kes yang telah mendapat jangkitan semasa berada di atas kapal di luar persisir Sabah dan Pengesanan kontak kepada kes ini sedang giat dijalankan.

Advertisement