Anda di sini

Penganggur mengaku bersalah buang bayi ke dalam longkang

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penganggur wanita menukar pengakuannya kepada bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menyembunyikan kelahiran anak perempuannya, dengan cara membuang bayi tersebut ke dalam longkang.

Afiqah Azman, 20, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Syukri Mokhtar, didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Memandangkan tertuduh merupakan seorang pesalah muda, mahkamah menetapkan pada 16 November depan untuk laporan sosial sebelum hukuman ditentukan.

Dalam pada itu, tertuduh dibebaskan dengan jaminan lanjut sehingga sebutan semula kes. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuang bayi ke dalam longkang dengan tujuan untuk menyembunyikan kelahiran anak yang baharu dilahirkan, antara jam 7 petang hingga 12 tengah malam pada 18 Januari lalu, bertempat di Bandar Baru Samariang. 

Menurut laporan terdahulu, tertuduh pergi ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami pendarahan. 

Doktor yang bertugas membuat pemeriksaan ke atas tertuduh dan mendapati dia mengalami pendarahan teruk, selain mempunyai tanda-tanda melahirkan anak dan terdapat kesan koyakan di bahagian kelamin. 

Justeru, doktor berkenaan mengesyaki tertuduh melahirkan anak, namun tertuduh menafikan dan enggan memberitahu apa-apa tentang kelahiran tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 

  • oleh
  • Advertisement