Anda di sini

Lelaki Indonesia dipenjara setahun, ceroboh masuk dan cederakan tuan rumah

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menceroboh masuk ke dalam rumah seorang lelaki warga emas dan menumbuknya di bahagian muka.

Majistret Mohd Syukri Mokhtar turut memerintahkan Rudi Irawan, 20, yang tidak diwakili peguam, untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selesai menjalani hukuman. 

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, tertuduh yang merupakan seorang penganggur, didakwa melakukan pencerobohan dengan memasuki rumah milik Toh Peck Ching, 61.

Satu lagi pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana tertuduh dengan sengaja mencederakan pemilik rumah tersebut.

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukannya pada 6 Oktober lalu, jam 4.30 petang di sebuah perumahan terletak di Tabuan Desa, di sini. 

Berdasarkan keterangan kes, pemilik rumah berkenaan yang juga merupakan pengadu dalam kes ini menyedari bahawa seseorang lelaki yang tidak dikenali (tertuduh) telah meluru masuk ke dalam rumahnya.

Difahamkan, tertuduh dikatakan mengambil beg tangan pengadu yang diletakkan di atas kerusi, namun cuba dihalang oleh pengadu.

Tertuduh juga bertindak menumbuk bahagian muka pengadu kerana pengadu menjerit meminta pertolongan semasa kejadian berlaku. 

Berikutan itu, mahkamah menetapkan tertuduh dipenjara enam bulan bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya, selain mengarahkan hukuman penjara dijalankan secara berturutan bermula dari hari ini. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad. 
 

Advertisement