Anda di sini

Bunuh kekasih, inspektor diarah bela diri 

Advertisement
Tertuduh (dua kiri) diarahkan untuk membela diri.
Tertuduh (dua kiri) diarahkan untuk membela diri.

KUCHING: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor diarah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas tuduhan membunuh teman wanitanya pada 2017. 

Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin membuat keputusan itu terhadap Sohffian Abu Hassan, 40, setelah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 9 dan 10 November depan untuk sebutan kes. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.  

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang terdahulu bertugas di Belaga itu didakwa membunuh Siti Nadrah Abdullah, 33, pada 21 Mei 2017, jam 3.15 petang di Kampung Kakai, Serian. 

Menurut laporan terdahulu, tertuduh menembak mati mangsa dan melarikan diri daripada tempat kejadian menaiki kenderaan polis. 

Dia kemudian memaklumkan kepada polis lokasinya sebelum ditangkap di hadapan sebuah pasar raya di Matang, di sini. 

Difahamkan, terdapat masalah peribadi antara mangsa dan tertuduh dan berdasarkan rekod polis, tertuduh merupakan seorang duda serta tidak mengisytiharkan perkahwinannya kepada mangsa. 

Ibu mangsa berusia 65 tahun yang enggan didedahkan namanya bagaimanapun menegaskan anak perempuannya telah berkahwin dengan tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Musli Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, CM Sundram. 

Advertisement