Anda di sini

Chrissy Teigen, John Legend dedah ‘kesakitan mendalam’ saat kehilangan bayi

Advertisement

MODEL Chrissy Teigen dan suaminya, penyanyi yang memenangi anugerah, John Legend - salah satu pasangan hebat paling hangat di Hollywood - telah mendedahkan mereka mengalami ‘kesakitan mendalam’ selepas kehilangan bayi mereka ekoran kehamilan yang sukar.

Teigen, yang menunggu kelahiran anak ketiganya bersama Legend, dimasukkan ke hospital pada hujung minggu lepas kerana pendarahan berlebihan.

Tulisan jujur pasangan itu tentang tragedi peribadi mereka mencetuskan luahan mesej sokongan pada Khamis lepas.

“Memandu pulang dari hospital tanpa bayi. Bagaimanakah ini boleh jadi tulen?” tulis Teigen dalam Twitter.

“Kami terkejut dan mengalami jenis kesakitan mendalam yang kita hanya dengar sahaja, jenis kesakitan yang kami tidak pernah rasa sebelum ini,” tulis Teigen dalam satu paparan berasingan dalam Instagram.

Paparan itu turut memuatkan gambar hitam putih model itu di hospital, menangis dengan menggenggam kedua-dua tangan dan menundukkan kepala.

Sebuah lagi gambar menunjukkannya di atas katil hospital, memegang bayinya manakala Legend mencium bahunya.

“Kami tidak dapat menghentikan pendarahan dan memberi cecair yang diperlukan oleh bayi kami, walaupun menjalani pemindahan darah yang begitu banyak sekali. Ia tidak memadai.”

Teigen, 34, berkata dia dan Legend memilih sehingga sekarang untuk tidak menamakan anak-anak mereka sebelum meninggalkan hospital tetapi dia mula memanggil bayinya Jack.

“Kepada Jack kami – saya memohon maaf kerana saat-saat pertama kehidupan anda mengalami begitu banyak kerumitan, kerana kami tidak dapat memberikan anda tempat tinggal yang anda perlukan untuk hidup. Kami akan sentiasa menyayangi anda,” tulis Teigen.

Legend, 41, menciap semua paparan Teigen dalam Instagram dengan mesej, “Kami menyayangi anda, Jack.” Ini diikuti lima tanda hati hitam.

Rakan-rakan selebriti – daripada pemenang anugerah Oscar, Viola Davis, hingga kepada penyanyi rap, LL Cool J, yang bekerja bersama Teigen dalam siri realiti ‘Lip Sync Battle’ – menyertai peminat untuk memberikan simpati dan sokongan.

“Kami sentiasa di sini untuk anda dan amat menyayangi kedua-dua anda,” tulis Kim Kardashian West dalam Instagram.

Sementara ada yang mengkritik Teigen kerana terlalu menonjolkan diri, ada juga yang memujinya kerana membongkar isu yang menyakitkan tentang kehilangan bayi sewaktu mengandung.

“Anda menjadikan begitu ramai wanita rasa kelihatan dengan berkongsi kesedihan yang intim ini,” kata aktres ‘Brooklyn Nine-Nine’, Melissa Fumero.

Pasangan itu mempunyai penampilan yang aktif dalam media sosial, dengan berkongsi maklumat terperinci tentang segalanya daripada pandangan politik mereka hingga kepada kehidupan mereka di rumah.

Teigen telah berkongsi satu video bagi pemeriksaan ultra-bunyi, meraikan pembuangan implan payudaranya dengan berkongsi gambar parutnya, dan sering memaparkan imej anak-anaknya, Luna dan Miles.

Pasangan hebat dalam dunia hiburan itu berkahwin pada 2013, selepas mereka berkenalan beberapa tahun sebelum itu di set penggambaran bagi salah satu video muzik Legend.

Mereka mengumumkan pada Ogos lalu bahawa mereka bakal melahirkan anak ketiga. — AFP

Advertisement