Anda di sini

Adiwira kecil India di Netflix jadi perhatian dunia

Advertisement
 Mighty Little Bheem kini menjadi hit global dan sudah  ditonton lebih 27 juta isi rumah di AS. — Gambar AFP
ADIWIRA INDIA: Mighty Little Bheem kini menjadi hit global dan sudah ditonton lebih 27 juta isi rumah di AS. — Gambar AFP

IA adalah satu pencarian yang sewajarnya bagi seorang adiwira. Animator Rajiv Chilaka menghabiskan masa bertahun-tahun memperhalusi pembentangannya tentang seorang budak adiwira dari India kepada eksekutif Barat, tetapi sia-sia sahaja.

Tetapi pada hari ini ‘Mighty Little Bheem’ adalah hit global, selepas penonton mencari alternatif kepada jalan cerita yang didominasi orang putih.

Daripada sari ibunya hingga kepada kesukaannya dengan ladu, segalanya mengenai bayi bintang itu bersifat India.

Peminatnya yang begitu ramai berada di Seattle hingga ke Sao Paulo, menjadikannya program paling popular bagi kanak-kanak prasekolah terbitan Netflix itu.

Sejak pelancarannya pada tahun lepas, ia sudah ditonton oleh lebih 27 juta isi rumah. Ia merupakan program antarabangsa terkemuka terbitan Netflix pada 2019 di Amerika Syarikat (AS), dan musim ketiga kini sedang diusahakan.

Tetapi perjalanan adiwira yang memakai lampin dari kota Hyderabad di selatan India ke Hollywood adalah tidak mudah.

“Saya dihalau dari setiap pejabat yang saya lawati,” kata Chilaka, yang pada mulanya pergi ke saluran televisyen AS dengan harapan untuk membawa ‘Chhota Bheem’ (Bheem Kecil) - programnya yang popular di India tentang seorang budak kampung berusia sembilan tahun yang memiliki kekuatan adiwira - ke peringkat global.

Eksekutif TV membantah, dengan dakwaan bahawa kanak-kanak di dunia Barat akan menolaknya kerana latarnya ‘terlalu terang dan berwarna-warni’ dan protagonisnya tidak memakai baju, kata Chilaka.

“Ia sebenarnya tidak masuk akal bagi saya. Maksud saya, kanak-kanak tertarik kepada warna dan Disney membuat ‘Jungle Book’ – seluruh filem mengenai seorang budak lelaki yang memakai seluar dalam – bertahun-tahun yang lalu,” katanya.

Walaupun studio AS kerap mendapatkan khidmat animator India untuk mencipta kandungan berbahasa Inggeris pada harga lebih rendah, industri itu tidak pernah menerima pujian bagi penerbitan asal.

KEMUDIAN NETFLIX MUNCUL

Gergasi penstriman itu mahu menembusi pasaran hiburan yang amat besar di India, dan berharap filem keluaran sampingan Bheem berdasarkan versi bayi bagi adiwira yang disayangi Chilaka akan membantu untuk mencapai matlamat tersebut.

- TIADA TERJEMAHAN DIPERLUKAN -

“Kami sebenarnya mahu memiliki watak yang bergema terutamanya sekali bagi anggota kita dari India,” kata Dominique Bazay, selaku pengarah animasi asal bagi Netflix, kepada AFP.

Persoalan mengenai pembaratan kandungannya tidak timbul, katanya.

Bheem memakai bindi tradisional – satu titik pada dahi – dan tinggal di sebuah kampung di mana semua orang menggunakan pakaian India.

Dibesarkan oleh ibu tunggal, dia merangkak ke setiap jenis kenakalan, termasuk dari semasa ke semasa melibatkan seekor monyet nakal dan anak gajah dalam kegiatannya.

Syarikat berkenaan tidak bimbang mengenai bagaimana program itu – yang tidak ada dialog – akan diterjemahkan dalam kalangan penonton luar negara, kata Bazay.

“Kanak-kanak benar-benar mahu mencari (benda baharu) dan sikap ingin tahu mereka tiada batasnya,” katanya.

Walau bagaimanapun, tidak ramai yang menyangka kisah Bheem dan rakan haiwannya akan menarik audiens global yang begitu besar, apabila ia mendapat ramai peminat pada zaman ‘Black Panther’ dan permintaan yang semakin meningkat bagi kepelbagaian yang lebih tinggi dalam dunia hiburan.

Warga New York, Lisa-Michelle Houck, memberitahu AFP, anak-anaknya, yang berusia empat dan dua tahun, serta-merta menjadi peminat program itu.

Kesukaan Bheem kepada ladu – manis-manisan India berwarna kuning – ternyata bagi mereka, katanya. “Ia hanya gula-gula sahaja.”

- GELAK KETAWA DAN PENGAJARAN -

Gelagat Bheem – daripada memukul gendang permainannya tanpa henti-henti hingga kepada membuat kekotoran di rumah – segera lucu bagi penonton muda.

Dan bagi ibu bapa yang mahu menukar selera daripada pengaturcaraan kanak-kanak yang tradisional dengan perarakan puteri berpakaian merah jambu dan protagonis putih, program itu merupakan cara mudah untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada pandangan dunia yang lebih bersifat pelbagai budaya.

Isi rumah ibu tunggal Bheem memberi pengajaran penting bahawa ‘satu cara betul untuk berkeluarga tidak ada’,” kata Houck.

Dia dan isterinya juga mahu anak-anak kacukan mereka melihat bahawa ‘anda tidak perlu putih untuk menjadi adiwira’.

Bagi pencipta Bheem, Chilaka, kejayaan itu adalah mengejutkan dan menginsafkan.

“Ketika kami mula bekerja, saya sangat sedar bahawa ini adalah program animasi pertama dari India yang menemui platform yang begitu besar,” kata animator berusia 46 tahun itu.

“Ia adalah beban yang besar di atas bahu saya, kerana saya tahu ia dapat membuka pintu bagi orang lain.”

Perjalanan Bheem daripada ‘underdog’ kepada fenomena global mungkin ternyata pengubah permainan bagi industri animasi di India, tambahnya.

Ia sudah mengubah nasib studo Chilaka, Green Gold Animation, yang telah menyaksikan jumlah kakitangannya melonjak daripada 25 kepada sekitar 1,200 orang yang berpangkalan di India, AS, Singapura dan Filipina.

“Kami masih mencubit diri sendiri,” kata Chilaka, yang menambah dia berharap untuk menerbitkan sebuah filem tentang bayi itu pada suatu hari nanti.

“Kanak-kanak kecil ini telah menterbalikkan kehidupan saya.” — AFP

Advertisement