Anda di sini

Tumbuk pengawal keselamatan selepas diarah isi maklumat pelanggan

Advertisement
 

SIBU: Seorang lelaki dicekup setelah menumbuk seorang pengawal keselamatan selepas diarahkan untuk mencatit nama dan bacaan suhu sebelum masuk ke Pasar Sentral Sibu pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit (gambar) berkata, seorang suspek kejadian sekitar 11.45 pagi itu telah diberkas, manakala seorang lagi yang masih bebas sedang dijejaki. 

"Pengadu kes, 31, yang merupakan mangsa ditumbuk, telah menegur tindakan kedua-dua suspek kerana tidak mencatit nama dan bacaan suhu di buku daftar yang disediakan.

"Salah seorang suspek menumbuk pengadu sementara seorang lagi suspek bertindak menahan pengadu dengan cara memeluk," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya lagi, semasa kejadian pengadu bersama rakan setugasnya memantau orang ramai yang masuk ke pasar tersebut bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi. 

"Kedua-dua suspek tersebut dalam keadaan di bawah pengaruh alkohol, datang menuju ke arah meja tempat pengadu bertugas untuk menulis nama. Kedua-dua lelaki tersebut tidak memakai pelitup mulut.

"Pengadu telah menegur tindakan kedua-dua suspek yang memotong barisan, tidak memakai pelitup muka dan tidak menulis nama dengan betul serta tidak mencatit nombor telefon/kad pengenalan dan suhu badan pada buku daftar. Kedua-dua suspek dibawa keluar.

"Pengadu telah membawa kedua-dua suspek keluar lebih kurang 10 meter daripada laluan masuk Pintu 1, rakan setugas pengadu pula menunggu di laluan Pintu 1 sambil menghubungi pengawal keselamatan lain untuk bantuan," katanya lagi.

Menurutnya, telah berlaku pertengkaran mulut di antara pengadu dengan salah seorang suspek manakala seorang lagi suspek berlegar-legar di belakang pengadu. 

Katanya lagi, tiba-tiba pengadu terasa ditumbuk di bahagian belakang kepala dari arah belakang, suspek yang bertengkar dengan pengadu terus memeluk pengadu dan pada masa sama, seorang lagi rakan suspek menumbuk sekali lagi di bahagian kepala sebelah kanan pengadu.

"Suspek yang menumbuk pengadu terus melarikan diri tetapi berjaya ditangkap di seberang jalan oleh orang ramai.

"Seorang lagi suspek telah menghilangkan diri sejurus selepas kejadian," ujarnya.

Stanley memberitahu, polis telah membawa suspek untuk mengesan rakannya yang masih bebas di sebuah rumah di Lorong Rambutan di sini namun suspek tiada di rumah. 

Suspek juga cuba dikesan di kawasan Pintu Gerbang Sibu dan difahamkan masih bebas, jelasnya.

"Suspek akan direman hari ini. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan melanggar Peraturan 3 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No.7) 2020," tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement