Anda di sini

Led Zeppelin menang dalam pertarungan hak cipta ‘Stairway’

Advertisement
 Gambar bertarikh 1 April 2019 ini menunjukkan Jimmy Page, gitaris dan pengasas Led Zeppelin pada siding media di New York. Mahkamah Agung Amerika Syarikat enggan menerima tuntutan hak cipta ke atas lagu klasik ‘Stairway to Heaven’ dendangan kumpulan Led Zeppelin, sekali gus menamatkan pertikaian undang-undang yang lama berhubung lagu tersebut. — Gambar AFP
MENANG KES: Gambar bertarikh 1 April 2019 ini menunjukkan Jimmy Page, gitaris dan pengasas Led Zeppelin pada siding media di New York. Mahkamah Agung Amerika Syarikat enggan menerima tuntutan hak cipta ke atas lagu klasik ‘Stairway to Heaven’ dendangan kumpulan Led Zeppelin, sekali gus menamatkan pertikaian undang-undang yang lama berhubung lagu tersebut. — Gambar AFP

MAHKAMAH Agung Amerika Syarikat enggan menerima tuntutan hak cipta ke atas lagu klasik ‘Stairway to Heaven’ dendangan kumpulan Led Zeppelin, sekali gus menamatkan pertikaian undang-undang yang lama berhubung lagu tersebut.

Sebuah mahkamah rendah di California pada Mac lalu memutuskan kumpulan rock dari Britain itu tidak menciplak ‘riff’ pembukaan lagu itu dari ‘Taurus’, yang ditulis oleh Randy Wolfe dari sebuah kumpulan di Los Angeles yang dipanggil Spirit.

Keputusan pada Isnin lepas oleh mahkamah tertinggi di negara itu untuk tidak mendengar kes itu menamatkan buat selama-lamanya cabaran undang-undang yang telah diikuti dengan dekat oleh industri muzik.

Led Zeppelin memenangi kes itu mulanya pada 2016, apabila mahkamah ketika itu tidak menjumpai sebarang bukti bahawa lagu klasik tahun 1971 itu melanggar hak cipta ‘Taurus’.

Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan selepas rayuan dikemukakan pada 2018.

‘Stairway’ dianggarkan mengaut AS$3.4 juta dalam tempoh lima tahun yang menjadi isu sewaktu perbicaraan sivil itu.

Gitaris kumpulan Led Zeppelin, Jimmy Page - yang disaman bersama penyanyi kumpulan itu Robert Plant dan seorang lagi anggota kumpulan yang masih hidup John Paul Jones - memberikan keterangan pada 2016 bahawa urutan kod yang dipertikaikan ‘sudah wujud sejak azali.’

Pemegang amanah Wolfe, Michael Skidmore memfailkan kes itu pada 2014 bagi pihak mendiang rakannya yang sudah lama menyatakan beliau sewajarnya menerima pujian bagi ‘Stairway’ tetapi meninggal dunia pada 1997 tanpa mengambil tindakan undang-undang berhubung lagu itu.

Pakar yang dipanggil oleh plaintif pada perbicaraan mahkamah rendah berkata banyak persamaan wujud di antara bahagian penting dalam kedua-dua lagu, tetapi saksi pembelaan memberikan keterangan bahawa corak kod yang digunakan dalam intro gitar melankolik bagi ‘Stairway’ begitu biasa sekali sehinggakan hak cipta tidak diguna pakai lagi. – AFP

Advertisement