Anda di sini

Taylor Swift sokong Joe sebagai presiden AS

Advertisement
 Taylor Swift, penyanyi pop tersohor AS. — Gambar AFP
SOKONG: Taylor Swift, penyanyi pop tersohor AS. — Gambar AFP

BINTANG pop Taylor Swift pada Rabu lepas mengumumkan sokongannya kepada Joe Biden untuk menjadi presiden, dan memberitahu seramai 200 juta pengikutnya dalam media sosial bahawa calon veteran Demokrat itu akan memulakan ‘proses penyembuhan’ di Amerika Syarikat (AS).

Penyanyi dan penulis lagu itu pernah menyelar Presiden Donald Trump, termasuk pada Ogos lalu apabila beliau mengecam ‘kepimpinannya yang tidak berkesan’ dalam usaha melawan pandemik koronavirus selain usahanya untuk ‘merosakkan dan memusnahkan’ hak mengundi di AS.  

Namun, kenyataannya dalam satu artikel majalah yang dipaparkannya dalam Instagram dan Twitter merupakan deklarasi sokongan rasmi pertamanya kepada Biden.

“Semua orang berhak memiliki kerajaan yang memandang serius risiko kesihatan global dan mengutamakan nyawa rakyatnya,” kata Swift - yang mengeluarkan dua album nombor satu, ‘Lover’ dan ‘Folklore’, dalam tempoh 11 bulan dari 2019 sehingga 2020 - dalam isu ‘Thought Leaders’ Majalah V.

“Saya akan mengundi Joe Biden dan Kamala Harris dengan bangga dalam pilihan raya presiden pada tahun ini,” tambahnya.

“Di bawah kepimpinan mereka, saya percaya Amerika ada peluang untuk memulakan proses penyembuhan yang ia amat perlukan.”

Artis berusia 30 tahun itu dengan cepat menerima ucapan terima kasih daripada Biden dan calon gandingannya Harris.

“Taylor - terima kasih di atas sokongan anda dan kerana bersuara pada waktu yang genting ini dalam sejarah negara kita,” ciap Biden.

Swift menimbulkan kontroversi pada 2018 apabila beliau mengendors calon Demokrat di negeri asalnya Tennessee dan berkata rekod undian calon Senat AS Republikan, Marsha Blackburn, ‘mengejutkan dn menakutkan saya.’

“Saya tidak dapat mengundi untuk seseorang yang tidak bersedia untuk berjuang demi maruah SEMUA warga Amerika, tidak kira apa pun warna kulit merka, jantina atau siapa mereka cintai,” kata Swift ketika itu. — AFP

Advertisement