Anda di sini

Beras merah Primera nasi rendah indeks glisemik kaya antioksidan

Advertisement
 Secawan beras Primera yang dimasak dalam dua setengah cawan air akan menghasilkan nasi merah yang mempunyai rasa kekacang dan sesuai dimakan dengan pelbagai lauk seperti rendang, sup, kari dan sayur tumis.
CUBALAH: Secawan beras Primera yang dimasak dalam dua setengah cawan air akan menghasilkan nasi merah yang mempunyai rasa kekacang dan sesuai dimakan dengan pelbagai lauk seperti rendang, sup, kari dan sayur tumis.

KUALA LUMPUR: Nomatech Sdn. Bhd. telah melancarkan beras merah Primera yang mempunyai nilai indeks glisemik (GI) yang rendah, tinggi dengan serat dan kaya dengan kandungan antioksidan untuk membantu rakyat Malaysia mengambil makanan yang lebih sihat dan seimbang.

Pakar Genetik Tumbuhan dan Bioteknologi dari Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Wickneswari Ratnam berkata, beras merah Primera dihasilkan melalui biak baka konvensional yang melibatkan pendebungaan terkawal antara kultivar padi Malaysia, MR219 dan varieti padi liar Oryza rufipogon.

“Nilai GI menunjukkan keupayaan relatif kandungan karbohidrat dalam makanan meningkatkan kadar glukosa dalam darah.”

“Dengan kata lain, GI adalah sistem pengukuran yang diberikan kepada makanan untuk menggambarkan seberapa cepat karbohidrat dicerna dan diserap ke dalam saluran darah. Makanan dengan nilai GI yang rendah akan dicerna secara perlahan menyebabkan kenaikan kadar gula dalam darah menjadi perlahan dan stabil seterusnya mengurangkan risiko menghidapi diabetes,” katanya pada majlis pelancaran beras Primera yang berlangsung di De.Wan 1958 By Chef Wan, The LINC KL.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah dan Ketua Pembangunan Perniagaan Nomatech Sdn. Bhd., Sharifah Nur Rahimah Syed Alias dan Datuk  Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Cef Wan yang turut menunjukkan kehebatan kulinarinya dengan persembahan menarik dari 3 hidangan mewah menggunakan Beras Merah Primera.

Beras Primera yang dihasilkan ini juga mempunyai sedikit rasa kekacang dan turut membekalkan antosianin, sejenis antioksida yang melindungi sel-sel tubuh daripada radikal bebas sekali gus boleh membantu menurunkan risiko penyakit kardiovaskular.

Menurut Sharifah Nur Rahimah, secawan beras Primera yang dimasak dalam dua setengah cawan air akan menghasilkan nasi merah yang mempunyai rasa kekacang dan sesuai dimakan dengan pelbagai lauk seperti rendang, sup, kari dan sayur tumis.

“Tekstur nasi yang sedikit kenyal menambah kenikmatan pada makanan anda. Nasi ini bukan hanya enak dinikmati sebagai nasi biasa, tetapi juga amat sesuai dimasak sebagai nasi lemak, nasi pilaf, nasi goreng dan juga salad.”

“Beras merah Primera kini boleh didapati di pasar raya terpilih seperti Tesco, AEON Big, MyDin, The Store, Village Grocer, Giant, dan juga di platform atas talian seperti Lazada, Shoppee dan Presto Mall,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai beras merah Primera, anda boleh melayari laman web di www.nomatech.com.my.

Advertisement