Anda di sini

Ita jual dodol untuk pertahan warisan

Advertisement
 Ita Marlinda Anuar.
PERTAHAN TRADISI: Ita Marlinda Anuar.

... Dodol kuih sedap tetapi kini semakin dilupakan

KUIH dodol mungkin sejenis makanan yang sedap tetapi kini ia semakin dilupakan. Di Sabah, tidak ramai orang yang membuat dodol kerana ia memakan waktu yang agak lama untuk membuatnya. Jarang orang yang sanggup berdiri berjam-jam semata-mata untuk mempertahankan kuih tradisi ini daripada kepupusan.

Bagi Ita Marlinda Anuar, 44 tahun, dorongan untuk membuat dodol itu sebenarnya datang dari dirinya sendiri.

 Dodol digaul dalam kuali boleh mengambil masa berjam jam.
MENGGAUL DODOL: Dodol digaul dalam kuali boleh mengambil masa berjam jam.

“Mulanya tu hanya untuk makan-makan saja. Suami juga suka makan dodol, jadi sesudah buat, saya bagi rasa dengan kawan-kawan,” katanya kepada Utusan Borneo.

“Ada seorang kawan cakap mengapa tak jual, kalau kau jual aku beli. Jadi saya tanya balik, kalau aku jual kau rasa rasa boleh lakukah?” Ita bertanya. Rakannya meyakinkan Ita bahawa dodol yang dibuatnya itu rasanya sedap.

“Lagipun jarang orang yang boleh buat dodol ni,” katanya. Disitulah bermulanya minat membuat dodol.

 Dodol Mommy Wita.
JENAMA: Dodol Mommy Wita.

Dodol adalah sejenis makanan yang manis, biasanya hanya boleh didapati ketika musim perayaan seperti hari raya dan sebagainya tetapi kini ia semakin sukar diperolehi khususnya dodol buatan tempatan.

Jika sebelah siang, sibuk memasak, mengemas rumah dan hantar anak-anaknya, Neo 16 tahun, Flicka 11 tahun, Syah 5 tahun ke sekolah, Ita Marlinda sanggup bersengkang mata membuat dodol pada sebelah malam.

Biasanya, selepas solat Isyak, Ita mula menggaul dodol. Selepas dodol siap dimasak, ia kemudian dimasukkan dalam bekas sebelum dimasukkan dalam bungkusan mengikut permintaan, kata Ita yang berasal dari Tawau.

Membuat dodol biasanya memakan masa berjam-jam dan sudah tentu memerlukan kerajinan dan  kesabaran tetapi bagi Ita, membuat dodol memberikan kepuasan kerana menghasilkan makanan yang diminati.

Ita membuat dodol durian dan dodol gula merah dengan jenama Dodol Mommy Wita. Kini menembus pasaran Kota Kinabalu hingga ke Tawau.

Kaedah jualan dibuat secara online, media sosial melalui aplikasi whatsApp dan melalui rakan-rakan yang membantu untuk promosi.

“Saya hantar WhatsApp kepada yang sudah tahu. Mereka akan telefon kalau mahu dodol,” katanya. Kalau yang baru-baru mahu merasa, dia orang whatsApplah, tanya harga dan sebagainya.

Dalam seminggu, Ita boleh menjual dodol kadang-kadang 10 hingga 30 kotak, berdasarkan permintaan.

Menurut Ita, beliau membuat dodol ikut permintaan, “sebab dodol ni bukan semua orang pandai makan. Anak saya sendiri tidak suka makan dodol”.

“Sebelum dodol dilupakan, lebih baik lah ada usaha untuk meneruskan makanan tradisi ini,” katanya. Walaupun, permintaan untuk kuih dodol ini bermusim, misalnya ketika musim hari raya, ramai yang membuat tempahan, tetapi sekarang permintaan untuk kuih dodol itu agak kurang.

Menurut Ita dodol ini boleh dibuat sebagai hadiah atau buah tangan untuk majlis gunting rambut atau majlis perkahwinan.

Ditanya mengenai cara pembungkusannya, Ita memberitahu pembungkusan dodol bergantung kepada permintaan pelanggan.

 Dodol dimasukkan dalam bekas kecil sedia untuk dijual.
SEDIA UNTUK DIPASARKAN: Dodol dimasukkan dalam bekas kecil sedia untuk dijual.

“Biasanya, kalau majlis yang sederhana, kecil saja bungkusannya. Masuk di kotak-kotak atau bungkus dengan plastik warna warni.

Ita berharap perniagaan dodolnya mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan. Walaupun semakin jarang dijual di pasar-pasar di negeri ini, tidak seperti di Semenanjung, kuih dodol tetap menarik dan istimewa. Kalau adapun dodol yang dijual dipasaraya, kebanyakannya import dari Semenanjung kerana di Sabah, sudah semakin jarang orang yang membuat dodol.

Usaha yang dibuat oleh Ita Marlinda layak diberikan pujian, bukan saja kerana mempertahankan kuih tradisi tetapi ia juga mampu  memberikan pulangan lumayan.

  • oleh
  • Advertisement